PH kalah teruk kerana Bersatu curi undi – Fahmi Fadzil

Berita dipetik dari utusan Online

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan PKR tewas di semua kerusi dipertandingkan selain DAP kehilangan kubu kuatnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka didakwa kerana pecahan undi yang ‘diambil’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, hal itu disebabkan Bersatu sebelum ini pernah bersama PH yang memenangkan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun, tindakan parti itu membentuk pakatan baharu dinamakan Perikatan Nasional (PN) menyebabkan pola undi sudah berpecah.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, masih terlalu awal untuk PH menyimpulkan punca kekalahan pembangkang bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan ia akan diketahui selepas sesi bedah siasat dilakukan dalam masa terdekat.

“Ada banyak sudut yang perlu diambil kira untuk kita memahami apa yang berlaku selepas hari mengundi. Mungkin juga ada undi yang berpecah yang menyebabkan kemenangan tidak memihak pembangkang seperti di Pengkalan Batu. Kehadiran bekas penyandangnya, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) juga telah mengambil undi yang sepatutnya pergi ke DAP,” katanya ketika dihubungi semalam.

Fahmi menafikan dakwaan kekalahan pembangkang mungkin didorong faktor penerimaan Datuk Seri Idris Haron (bekas ADUN UMNO) bertanding di DUN Asahan atas tiket PKR dan juga permeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang, sebelum ini.

“Ini tidak benar, boleh jadi disebabkan faktor jentera dan kekuatan parti antara kawasan bandar dan luar bandar. Apa yang perlu diperbaiki adalah gerak kerja kami kerana cara parti-parti berkempen secara maya pun salah satu punca mengapa sukar untuk kami memperkenalkan calon.

“Kempen digital di kawasan bandar memang berkesan, tetapi bukan di luar bandar kecuali pengundi yang mengundi di kawasan luar bandar ini tetapi bekerja di dalam bandar,” katanya.

Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Melaka mencatatkan kemenangan dengan majoriti dua pertiga menyaksikan UMNO menang 18 kerusi, diikuti MCA (2) dan MIC (1) manakala PH hanya menang lima kerusi iaitu DAP lima kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) (satu kerusi) dan PKR tewas semua kerusi.

PN-Bersatu pula hanya menang dua kerusi manakala Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan parti-parti politik bebas juga gagal merebut sebarang kerusi yang ditandingi.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kebangsaan DAP, Ronnie Liu Tian Khiew berkata, pimpinan tertinggi PH diingatkan untuk tidak menuding jari kepada pihak lain dan mengakui kekhilafan sepanjang berkempen yang menyebabkan masih ramai pengundi terutama yang bukan Melayu didakwa enggan keluar mengundi.

ADUN Sungai Pelek itu antara lain mencadangkan supaya DAP tidak terlalu bergantung kepada sokongan orang Cina sahaja sebaliknya mementingkan semua kaum di negara ini jika mahu memenangi kerusi lebih banyak pada pilihan raya.

“DAP tidak boleh harapkan Cina sahaja, kena yakinkan bangsa-bangsa lain bahawa DAP boleh mewakili suara semua rakyat. Jangan pentingkan sentimen kecinaan lagi bagi mengelakkan salah faham terhadap DAP. Kita menang empat kerusi pun kerana bergantung dengan Cina, kalau tidak, kita takkan menang.

“Pembangkang juga mesti menjelaskan kepada rakyat punca kekalahan sama ada disebabkan pandemik Covid-19, pengundi sendiri kecewa dengan ahli politik, prestasi PH yang kurang memberangsangkan selama 22 bulan mentadbir atau faktor ‘Mahathir’,” katanya. – UTUSAN ONLINE