Pihak yang tebang balak sampai banjir ni layak dilaknat Allah – Dr Asri

Pihak yang bertanggungjawab menebang pokok atau hutan sehingga menyebabkan kemusnahan tempat tinggal dan kebinasaan hidup rakyat, layak dan akan menerima laknat manusia, dan perbuatan itu merupakan “jenayah dunia dan akhirat,” kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Seperti dipetik SuaraTV, tegas beliau, tanpa mengira siapapun pelakunya, sama ada golongan bawahan atau bangsawan, ahli politik atau ahli perniagaan, ke atas mereka laknat rakyat.

“Amaran Nabi SAW bahawa laknat itu akan menimpa mereka nanti. Mereka akan menemui padah itu dalam kehidupan dunia dan akhirat,” katanya lagi memberikan amaran dalam catatan laman web Mufti Perlis.

Asri berkata demikian sebagai amaran tentang balasan kepada pihak yang rakus membalak sehingga menyebabkan bencana dan menjejaskan serta mengorbankan nyawa manusia.

Katanya, terdapat hadis yang memberikan amaran kepada sesiapa yang menebang pokok bidara – yang menjadi teduhan orang dan binatang di tanah lapang- bahawa Allah akan merendahkan atau merendam kepalanya ke dalam neraka di akhirat kelak.

Ulas pakar hadis itu, hadis-hadis yang memberikan amaran dahsyat sebegitu menunjukkan perbuatan yang dilarang tersebut termasuk dosa-dosa besar.

Katanya, meskipun terdapat perbezaan pendapat, menurut Imam Abu Daud, hadis itu boleh difahami tentang perbuatan memusnahkan tempat berehat atau berteduh pengembara atau haiwan daripada panas.

Oleh yang demikian, katanya, balasan itu sepadan dengan perbuatan memusnahkan perlindungan panas manusia dan haiwan tanpa alasan yang benar, kerana pihak yang berbuat demikian termasuk dalam kalangan mereka yang “sangat jahat”.

Namun, soal Asri, jika perbuatan menebang pokok bidara yang menjadi perteduhan pun sudah dihukum sedemikian, bagaimana pula balasan bagi pihak yang “menebang pokok-pokok secara rakus sehingga berlaku bencana yang menyebabkan manusia kehilangan dan kemusnahan rumah dan tempat tinggal”?

Perbuatan itu, katanya, bukan sahaja menyebabkan orang hilang tempat berteduh, bahkan menyebabkan manusia hilang tempat tinggal, sekolah, tempat kerja, masjid dan rumah ibadat.

“Apakah lagi kedajalan dan kejahatan yang lebih besar daripada itu?

“Jika memotong pokok bidara disembamkan kepala ke dalam neraka, bayangkan jika memotong balak sehingga ribuan manusia menderita dan berlaku kematian!

“Potong pokok bidara yang menyebabkan musafir kehilangan tempat berteduh yang bukan milik peribadi sudah dihukum demikian rupa di akhirat.

“Apatah lagi jika menebang hutan dengan cara yang rakus yang menghilangkan harta peribadi manusia, bahkan membunuh nyawa dan kehidupan insan,” katanya dalam satu kenyataan di laman web mufti Perlis.

Musim tengkujuh kali ini menyaksikan beberapa negeri dilanda banjir besar sehingga menyebabkan kemusnahan tempat tinggal, kenderaan, harta benda lain, bahkan ada yang terperangkap tanpa bekalan elektrik dan air selama berhari-hari.

Keadaan banjir yang kelihatan sangat teruk tahun ini menyebabkan ramai pihak menyalahkan pembalakan sebagai punca utama.

Antara yang paling menarik perhatian, gambar tular memaparkan kayu-kayu balak ditemui di Sungai Telemong, Pahang, didakwa sesetengah pihak mendakwa mungkin hasil daripada aktiviti pembalakan.

Namun dakwaan itu dinafikan Jabatan Perhutanan Pahang yang mendakwa ia berpunca daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul pada 18 Disember.

Untuk rekod, semalam, jabatan itu telah mengeluarkan arahan agar aktiviti pembalakan dihentikan sementara berikutan keadaan banjir.