Pilih kasih sampai anak menangis, ibu hanya mahu duit, nenek ini beri nasihat kepada mereka yang diabai

Seorang nenek menceritakan kisah seorang pemuda yang menjadi mangsa pilih kasih oleh ibu bapanya sejak kecil.

Lelaki berkenaan, kata warga emas itu, merupakan anak ketiga daripada enam beradik.

Ini kisahnya yang boleh dijadikan iktibar buat ibu bapa, anak juga adik beradik lain agar-agar tidak mana-mana ahli keluarga dipinggirkan:

“Katanya dia sejak kecil hingga dewasa, dia tak pernah disayangi ibu bapa dia tapi lima beradiknya yang lain disayangi.

“Yang dia tahu semasa dia dewasa, keluarga dia nak duit daripada dia tapi semasa kecil semua buat tidak tahu.

“Masa dia kecil, dia selalu kena pukul. Masa hari jadi, semua adik beradik dia dapat kek, ada sambutan hari jadi.

“Tapi dia seumur hidup tak pernah pun diberi peluang untuk tiup lilin masa hari jadi dia.

“Selepas habis sekolah pula, bapa dia sibuk carikan abang, kakak dan adik untuk masuk universiti atau kolej.

“Tapi masa dia habis tingkatan 5, bapa dia tak tawarkan pun untuk bayar apa-apa untuk dia lanjutkan pelajaran.

“Dia selalu menangis sorang-sorang dalam bilik.

“Dia kata lepas bapa dia suruh cari kerja, dia dapat kerja jadi atendan di hospital berdekatan rumah dia. Dia seronok sangat dapat kerja tu.

“Dia keluar dari rumah bapa dia, dia sewa bilik. Dia ambil kelas yang dibiayai hospital itu sendiri selama tiga tahun.

“Lama-kelamaan dia naik pangkat dan berjaya. Dia berjaya beli kereta dan rumah sendiri.

“Sekarang bila dah senang mak dia terutamanya asyik telefon dia minta duit.

“Ada satu hari menjelang Hari Raya Haji, dia pulang ke kampung. Di tengah perjalanan, mak dia telefon dia bertanyakan bila nak bagi duit.

“Dia ingat, dah sampai rumah dulu, baru dia bagi duit. Dia pun berhenti dekat bank, dia masukkan duit, dia patah balik tak jadi balik kampung.

“Sampai sekarang dia tak balik kampung semasa Hari Raya. Tapi apabila mak bapa dia minta duit, dia bagilah.

“Dia tanya kepada saya, salahkah dia buat begitu? Macam anak derhaka pula. Abang dan kakak dia kata, janganlah ambil hati. Lupakanlah benda yang lepas-lepas.

“Tapi dia kata dia tak boleh lupa.

“Saya cadangkan kepada lelaki itu luangkan masa satu kali bawa ibu bapa keluar berjalan, luahkan perasaan sebenar, tanya mak kenapa sejak kecil dibuat (dipinggirkan) begitu.

“Selagi tak berdepan dan berani bercakap dengan mak bapa awak, awak akan simpan perasaan geram.

“Saya harap dia dapat memaafkan mak bapa dia dan maafkan diri sendiri. Kadang-kadang, kita kena maafkan orang dan diri sendiri, baru boleh ‘move on’.

“Kadang-kadang ibu bapa pun ada buat salah dan kita perlu dengar ibu bapa ucap maaf kerana pilih kasih semasa kecil, mungkin dia nakal atau lembab ke masa kecil dulu, itu yang kena pukul.

“Ibu bapa perlu minta maaf dan anak pun boleh move on,” nasihatnya lagi menerusi akaun TikTok yang meraih perhatian ramai.

BACA JUGA Anak-anak perempuan siapa merenyam dan ganas ni? Tampar pelajar Tingkatan 1 hanya kerana berebut teman lelaki