Pisang merupakan satu buahan yang sememangnya tidak asing lagi dan mudah didapati. Tahukah anda, terdapat lebih 1,000 jenis pisang yang ditanam di seluruh dunia!
Setiap jenis pisang mempunyai bentuk, warna dan rasa yang berbeza. Bukan itu sahaja, pelbagai resipi berasaskan pisang juga boleh dibuat untuk hidangan harian.
Jom kita kongsikan 5 jenis pisang yang sering kita jumpai di pasar raya, pasar tani mahupun di kedai tepi jalan.
5 jenis pisang yang sedap digoreng
- Pisang Emas
Pisang emas mempunyai bentuk yang kecil. Disebabkan rasanya yang sedap, ia sering dijadikan snek. Nama ’emas’ pula diberi kerana ia memiliki warna kuning keemasan setelah masak.
Namun begitu, pisang ini akan cepat bertukar lebam selama beberapa hari sahaja. Jadi, kena pastikan ia diguna secepat mungkin.
Pisang yang sudah masak boleh dijadikan pengat pisang dan cekodok. Selain itu, pisang emas yang masih muda boleh digunakan untuk memasak gulai dan masak lemak.
- Pisang Toman
Pisang toman mempunyai ukuran purata 20cm panjang. Ia lebih besar berbanding pisang berangan.
Isi pisang toman juga lebih gebu setelah digoreng, namun mempunyai sedikit rasa masam. Ia lebih sedap jika dijadikan kerepek.
- Pisang Awak
Pisang awak pula sedap jika digoreng dan dicicah bersama sambal kicap. Selain itu, ia juga enak dijadikan lepat pisang, nagasari, pengat, pisang salai dan kerepek pisang.
Di samping itu, pisang jenis ini juga sedap jika direbus dan dimakan dengan kelapa muda yang diparut. Buah pisang awak yang sudah ranum pula sangat sesuai dibuat cekodok atau lempeng pisang.
- Pisang Berangan
Buah pisang berangan sering menjadi pilihan ramai kerana mempunyai saiz yang sangat sesuai untuk dijadikan makanan pencuci mulut yang biasanya dihidangkan di majlis-majlis keramaian dan jamuan.
Ia juga sesuai digunakan untuk membuat roti canai pisang. Selain itu, pisang berangan juga enak dijadikan pisang goreng kerana ia tidak benyek atau lembik.
- Pisang Pisang Kelat Keling
Pisang kelat keling atau turut dipanggil pisang rastali adalah sejenis pisang yang isinya berwarna putih. Nama saintifiknya pula adalah Musa acuminata x balbisiana Colla cv.’Bluggoe.
Rasanya kelat semasa muda dan akan bertukar menjadi lemak manis dan hitam apabila sudah masak.
Menurut sesetengah pendapat, sebenarnya pisang ini terdapat 3 jenis iaitu pisang kelat keling, pisang kelat air dan pisang kelat lega. Pisang jenis ini sangat sedap jika dibuat goreng pisang atau disira.
Baca juga: Susulan dakwaan nasi ayam claypot terdapat bahan terlarang, ini penjelasan tuan kedai