PKPD di Lembah Klang tiada kawat duri, hanya pita kuning

Bermula hari ini sehingga 16 Julai ini, sebanyak 14 lokaliti di Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar.

Langkah itu dilakukan susulan purata kes harian Covid-19 di Kuala Lumpur dalam lingkungan 600 hingga 1,000 kes setiap hari.

Tinjauan MalaysiaGazette di salah satu lokaliti PKPD itu di Taman Koperasi Polis Fasa 2 malam tadi mendapati, pihak berkuasa mula membina sekatan jalan raya di penempatan itu seawal pukul 2 pagi.

Pelaksanaan PKPD kali ini agak berbeza berbanding di lokaliti lain sebelum ini di mana tiada sebarang penggunaan kawat duri di kawasan yang dikenalpasti.

Sebaliknya, polis hanya menggunakan pita kuning dan meletakkan papan tanda berhenti, kon polis dan khemah besar di laluan masuk utama ke penempatan itu.

Keadaan itu sama dilakukan di lokaliti lain yang dikenakan PKPD mulai tengah malam tadi termasuklah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Baru Musa, PPR Sri Semarak dan PPR Kampung Baru Air Panas.

Lebih mengejutkan, tinjauan MalaysiaGazette mendapati lokaliti PKPD di Kampung Padang Balang tidak mempunyai tanda mahu pun sekatan jalan raya, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Menurut sumber, prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan PKPD secara bersasar itu hanya boleh dilihat kelainannya di sebelah siang hari ini.

Bagaimanapun Sekatan Jalan Raya (SJR) masih dikekalkan seperti mana sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, sama ada secara statik mahupun bergerak.

Sementara itu, PKPD semua mukim di dalam Selangor pula hanya akan diperincikan setelah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bermesyuarat dengan agensi serta pihak berkuasa, esok. – MalaysiaGazette

sumber : https://malaysiagazette.com/2021/07/03/pkpd-di-kl-tiada-kawat-duri-hanya-pita-kuning/?fbclid=IwAR0KJ0FCayFPDdybHrlv9lLFy6rYKSNEvRZg5U0so1ybrRJBS1rJ4ZTJ-sM