PM hanya diam bila speaker tolak bahas usul isu saham Azam Baki

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menolak usul tergempar yang dikemukakan oleh dua ahli parlimen untuk membahaskan kontroversi pegangan saham melibatkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki semasa sidang khas parlimen hari ini.

Memetik dari Malaysiakini, Azhar berkata, tidak seperti sidang biasa, agenda sidang khas itu adalah atas budi bicara mutlak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Saya terima usul tersebut dua hari lepas dan telah menjawab bahawa sidang khas ini dipanggil PM di bawah kuasa mutlak PM di dalam aturan 11(3) peraturan majlis mesyuarat.

“Mengikut peraturan tersebut agenda sidang khas dicadangkan PM adalah di bawah kausa mutlak beliau dan beliaulah yang menyusun atur agenda tersebut.

“Oleh sebab itu saya tak ada kuasa untuk menerima usul tersebut

“Sehingga hari ini saya tak terima apa- apa notis PM mengenai usul terseubt maka saya anggap usul itu tidak akan dimasukkan dalam aturan mesyuarat hari ini,” katanya.

Agenda sidang khas parlimen hari ini adalah untuk membahaskan isu banjir kilat yang telah melanda beberapa negeri bulan lalu.

Bagaimanapun, Salahuddin Ayub (PH-Pulai) dan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) telah mengemukakan usul tergempar untuk meminta sidang itu turut membahaskan mengenai kontroversi membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM.

Salahuddin berkata dia memahami keputusan berkenaan namun berpendapat tiada salahnya tambahan satu jam diberikan untuk membahaskan isu SPRM memandangkan perdana menteri sudah hadir di Dewan Rakyat dan boleh memberikan penjelasan.

“Perdana menteri perlu berkata sesuatu, dia ada kuasa,” kata Salahuddin.

Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak menjawab soalan yang dibangkitkan Salahuddin.

“Yang amat berhormat (Ismail Sabri) tidak berniat untuk mengatakan apa-apa,” kata Azhar.