PM salahkan Ketua Setiausaha Negara tidak bantu promosi “Keluarga Malaysia”

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana kurang memberikan promosi konsep Keluarga Malaysia yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada kesan pandemik Covid-19.

Memetik dari Utusan Malaysia, menurut Perdana Menteri, konsep berkenaan yang dilancarkannya pada Oktober lalu diharap mendapat sokongan semua pihak terutama dalam kalangan warga JPM sendiri kerana hampir semua polisi dan dasar kerajaan ditentukan di sini.

Bagaimanapun, beliau menghargai kepimpinan di setiap negeri yang rata-ratanya menyambut baik konsep tersebut dan menguar-uarkan dalam setiap majlis yang dianjurkan.

“Saya berharap apabila diumumkan Keluarga Malaysia, ia mendapat sokongan agensi-agensi selain menteri-menteri dan ketua-ketua jabatan untuk promosikan konsep Keluarga Malaysia.

“Sepatutnya yang mendahului promosi konsep ini ialah JPM. KSN (Ketua Setiausaha Negara) sebagai pengerusi promosi ini, kadang-kadang saya lihat kurang peranan yang ditunjukkan oleh agensi atau jabatan di bawah JPM.

“Justeru, saya berharap dapat meningkatkan promosi konsep Keluarga Malaysia supaya orang lain dapat lihat bahawa JPM terlibat lebih terkehadapan berbanding orang lain. Bagaimana saya nak minta sokongan orang lain kalau kita selaku tuan rumah tidak lakukan sebaik-baiknya,” katanya ketika berucap dalam majlis amanat Perdana Menteri bersama warga JPM hari ini.

Konsep ‘Keluarga Malaysia’ menggariskan tiga teras utama iaitu iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran selain mengandungi 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berharap semua warga sektor awam khususnya JPM dapat menjalankan tugas dengan jujur dan berintegriti kerana seluruh mata tertumpu kepada jabatan ini memandangkan hampir keseluruhannya perkara berkaitan dasar negara terletak di bawah JPM.

Beliau berkata, dari segi gerak kerja di JPM sepatutnya mesti menunjukkan contoh terbaik kepada kementerian lain dan rakyat dari segi pengurusan agar apa yang dirancangkan kerajaan perlu dipastikan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Atas sebab itu, kata beliau, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas memantau Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) supaya rakyat dapat merasai setiap apa yang diumumkan kerajaan. -UTUSAN ONLINE