PN bakal tumbang, Anwar sudah ada majoriti ahli Parlimen?

Satu sidang media oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal berlangsung pukul 12 tengah hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memberitahu “pengumuman penting” itu akan diadakan di Clarke 1, Level 6, Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

“Rakan-rakan media dijemput untuk hadir bagi sidang media penting ini, serta diingatkan agar sentiasa mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) berkaitan Covid-19,” dipetik dari sebaran melalui WhatsApp itu.

Sumber dari ibu pejabat PKR bagaimanapun ketika dihubungi tidak mengetahui perkara apa yang akan diketengahkan.

Difahamkan, Anwar masih meneruskan protokol bahawa segala hal penting hanya akan dipastikan berada dalam pengetahuan kumpulannya.

Sebelum ini, Anwar dikatakan memperoleh majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat termasuk sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Gabungan blok pembangkang pada masa ini membentuk jumlah keseluruhan 109 kerusi Parlimen dengan 91 daripadanya daripada PKR, DAP, dan AMANAH.

Sementara itu, Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memiliki 15 kerusi.

Turut menolak Perikatan Nasional (PN) ialah Ahli Parlimen Muar bebas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan penggerak penubuhan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia).

Selain itu, dua Ahli Parlimen Parti Sarawak Bersatu (PSB) juga tidak menyokong PN yang pada masa ini hanya mempunyai 113 kerusi Ahli Parlimen.

Sekiranya Anwar mendapat sokongan dari GPS, ini bermakna blok pembangkang memperoleh 127 kerusi iaitu majoriti 16 kerusi Parlimen.

Parti memerintah memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.