PN terbina atas pengkhiatan dan kuasa katak, tak boleh teruskan- Najib

Perikatan Nasional (PN) digambarkan sebagai sebuah kerajaan yang digelar pintu belakang yang tak stabil dengan majoriti tipis yang terbina atas pengkhianatan dan kuasa katak, bukannya kuasa rakyat.

Hal demikian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keadaan ini tidak boleh berterusan.

“Lagi jahanam Rakyat dan negara sekiranya ianya berlanjutan setahun atau dua tahun lagi.

“Jadi, saya berpendapat bahawa keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk tarik balik sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin (bukan tarik sokongan dari kerajaan PN) untuk memberi laluan kepada pentadbiran sementara dengan tempoh dan matlamat tetap untuk menyelesaikan Covid-19, bantuan rakyat dan untuk mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi sebelum membubarkan Parlimen untuk kembalikan mandat kepada rakyat adalah keputusan tepat,” ujar beliau.

Justeru kata Najib, ianya bukan sahaja langkah paling tepat malah merupakan satu-satunya sahaja pilihan untuk kebaikan rakyat dan negara bagi jangka masa pendek dan panjang.

“Cara penyelesaian ini juga memenuhi hasrat titah Raja-Raja Pemerintah bulan lepas bahawa perlunya ada sebuah kerajaan stabil yang mendapat keyakinan dan sokongan majoriti rakyat (bukan katak).

“Sebab cara menyelesaikan masalah ini bukan dengan gantikan sebuah kerajaan digelar pintu belakang yang tak stabil dengan majoriti tipis yang terbina atas pengkhianatan dan kuasa katak.

“Sebab itu, kerajaan interim ini perlu ada tempoh hadnya dengan matlamat jelas. Tidak boleh melebihi tempoh 3-6 bulan sebab ianya juga sebuah kerajaan pintu belakang dengan majoriti tipis yang bukan pilihan rakyat,” kata Najib.

Menurut beliau, lagipun tempoh untuk Parlimen terbubar dengan sendirinya juga cuma dua tahun lagi sebelum penggal PRU ini berakhir.

“UMNO dan BN tak takut untuk menghadapi rakyat apabila tiba masanya.

“Sekiranya PN dan PH percaya mereka mempunyai sokongan padu daripada rakyat dan prestasi memerintah telah terbukti baik maka mereka juga tidak perlu takut untuk menghadapi rakyat apabila tiba masanya,” tegas Najib.

sumber : https://suara.tv/08/07/2021/pn-terbina-atas-pengkhianatan-dan-kuasa-katak-tak-boleh-biar-berterusan-najib-kuala-lumpur-perikatan-nasional-pn-digambarkan-sebagai-sebuah-kerajaan-yang-digelar-pintu-belakang-yang-tak-stabil/