Semalam tular sebuah video memaparkan seorang pekerja wanita di sebuah kedai vape didakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang lelaki yang memakai seragam tentera di Taman Keramat, Ampang.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 1.00 tengah hari di mana pekerja wanita tersebut didatangi suspek yang dikatakan ingin membeli barangan vape sebelum lelaki berkenaan keluar daripada kedai setelah urusannya selesai.
Walau bagaimanapun, suspek dilihat masuk semula ke kedai berkenaan dan memberitahu bahawa pod vape yang dibeli olehnya tidak berfungsi dengan baik dan meminta mangsa yang berusia 18 tahun itu memeriksa pod serta menggantikan dengan yang baru.
Mangsa menyerahkan pod vape terbabit dan ketika itu, suspek mengambil kesempatan memegang tangan mangsa serta turut menjilat tangan mangsa.
Selepas mangsa beritahu ada kamera litar tertutup (CCTV), suspek terus melepaskan tangan mangsa dan beredar dari tempat kejadian.
Dalam pada itu, siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan butiran peribadi serta mengesan di mana keberadaan suspek.
Susulan daripada itu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi pihak polis atau memaklumkan di balai polis berdekatan.
Sumber : Harian Metro