Satu demi satu didedahkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri dalam podcast Keluar Sekejap yang dihostkan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Luahan perasaan Ismail dilihat lebih menjurus kepada Presiden Umno Zahid Hamidi.
Katanya beliau dilantik sebagai Menteri Kanan ketika itu, berbanding Ahmad Zahid kerana Muhyiddin mengambil kira yang Presiden UMNO itu mempunyai kes di mahkamah, manakala Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula bukan Ahli Parlimen.
Susulan pelantikannya sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata, beliau berusaha menjaga hati Ahmad Zahid, termasuk tidak pernah turun di hadapan pintu masuk bangunan UMNO di Menara Dato Onn, sebaliknya terus naik melalui parkir di aras bawah tanah kerana tidak mahu Ahmad Zahid mendengar bunyi siren polis pengiringnya dan orang ramai melihat.
“Jika saya nak jumpa beliau, sebagai Perdana Menteri, saya boleh minta beliau datang ke pejabat tapi tidak. Saya pergi ke Yayasan Akal Budi di Country Heights dan ketika masuk ke kawasan itu, semua lampu polis dipadamkan.
“Polis duduk jauh dari pagar dan satu kereta saya saja yang masuk sebab saya nak jaga hati Presiden,” tamahnya dalam podcast Keluar sekejap.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, beliau kecewa kerana sehingga hari ini, selepas tiada jawatan tinggi dalam parti atau kerajaan, beliau masih ‘diganggu’ walaupun disifatkannya sedang berehat.
“Saya tidak usik siapa-siapa pun tapi mereka masih lagi hentam saya. Cukuplah… saya sudah diam, jangan kacau saya. Biar saya dengan kehidupan saya.
“Bagaimanapun, baru-baru ini, dalam mesyuarat bahagian, ada wakil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang rapat dengan Presiden, bantai saya dan Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Hussein). Apa lagi anda nak? Anda sudah dapat jadi Presiden, tiada sesiapa pun mengacau, cukuplah,” katanya.
Baca; Tips mudah menyimpan untuk bakal pengantin, terkejut tahu-tahu dah simpan RM24,000