Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, anggotanya akan menggunakan “budi bicara” untuk membenarkan mereka yang terperangkap di kampung halaman pulang ke rumah masing-masing pada tiga hari pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Saya difahamkan ramai keluarga di luar kawasan dan mungkin terperangkap esok.
“Saya keluarkan arahan hari pertama hingga ketiga untuk guna budi bicara yang setingginya benarkan mereka yang terperangkap, balik ke kawasan masing-masing,” katanya pada sidang media khasnya di Bukit Aman.
Katanya, kelonggaran turut diberikan kepada individu yang hendak pulang ke rumah menggunakan pengangkutan awam.
“Ini termasuk yang sudah tempah tiket penerbangan dan mahu ke KLIA akan diberi laluan. Begitu juga kenderaan awam (lain).”
Sempena pelaksanaan PKP dan larangan rentas negeri di seluruh negara, Hamid berkata, cuti semua anggota dan pegawai dibekukan serta-merta bagi memastikan rakyat mematuhi SOP ditetapkan sepanjang tempoh itu.
PKP selama dua minggu akan mula dilaksanakan esok di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.
PKP bersyarat pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala PKP pemulihan di Perlis serta Sarawak.
sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/12/polis-guna-budi-bicara-benarkan-rakyat-pulang-rumah-sehingga-jumaat-ini/