Polis ini terkejut duit RM5.7 juta tiba-tiba ada dalam akaun sampai akaun bank dibekukan pihak bank

Anggota polis terkejut ingatkan duit gaji masuk, rupanya duit tak tahu dari mana RM5.7 juta masuk dalam akaun bank.

Seorang anggota polis di bandar Karachi, selatan Pakistan, Aamir Gopang terkejut apabila mendapati akaun bank miliknya memiliki wang AS$1.2 juta (RM5.7 juta) daripada sumber yang tidak diketahui termasuk wang gaji­nya, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Apabila pihak berkuasa menge­tahui perkara itu, seorang pegawai penyiasat dari balai polis Bahadurabad di Karachi telah dihantar untuk melakukan siasatan, lapor akhbar The Express Tribune berpangkalan di Pakis­tan.

Pegawai penyiasat berkenaan juga hairan dan terkejut melihat akaun bank Aamir mempunyai wang begitu banyak berjumlah AS$1.2 juta.

Ketika ditanya media tempatan mengenai situasi dia kini bergelar jutawan segera, Aamir berkata, dia tidak gembira de­ngan keadaan tersebut.

“Saya terkejut, apatah lagi melihat wang yang begitu ba­nyak, saya tidak pernah mempunyai lebih daripada beberapa ribu rupee dalam akaun saya.
“Saya hanya mendapat tahu mengenainya apabila pihak bank menghubungi saya dan memaklumkan 100 juta rupee (AS$1.2 juta) telah dipindahkan ke dalam akaun saya,” kata Aamir.

Apabila pihak bank menyedari pemindahan wang yang agak ke­terlaluan itu ke dalam akaun anggota polis biasa, mereka segera membekukan akaun bank Aamir. Kad ATM lelaki itu juga telah di­sekat oleh pihak bank.

Hasil siasatan polis mendapati kejadian serupa telah berlaku di dua tempat lain iaitu di bandar Larkana dan Sukkur dengan beberapa anggota polis turut menerima sejumlah besar wang dalam akaun bank mereka.

Di Larkana, tiga anggota polis menerima AS$600,000 (RM2,848,800) dalam akaun ma­sing-masing, manakala di Sukkur, seorang anggota polis mempu­nyai jumlah sama didepositkan ke dalam akaunnya.

Pihak berkuasa yang menyiasat perkara itu percaya bahawa ketiga-tiga kes mungkin saling berkaitan. Bagaimanapun, anggota-anggota polis di Larkana menafikan mempunyai sebarang pengetahuan mengenai wang itu atau sumbernya.

Baca juga: Kenapa perlu tutup lampu sebelum tidur? Ramai tak sedar apa kaitannya dengan kesihatan badan