Polis sahkan 9 daripada 10 remaja perempuan Malaysia ketagih seks

Satu kajian yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan fakta mengejutkan apabila sembilan daripada 10 remaja perempuan mengaku mereka ketagih seks walaupun menyedari perbuatan itu melanggar nilai moral dan berdosa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata remaja yang pertama kali terjerumus melakukan hubungan seks bebas mula ketagih untuk mengulanginya.

Katanya Pegawai Psikologi D11 sedang menyiapkan kajian berkaitan isu itu membabitkan ribuan remaja perempuan yang terbabit dalam kes rogol atau disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Dalam temu bual eksklusif dengan Harian Metro semalam, Siti Kamsiah berkata apa yang lebih membimbangkan ialah mereka ini membabitkan remaja belasan tahun dengan ramai antaranya berusia 16 tahun ke bawah.

“Kajian mendapati kebanyakan mereka ini mempunyai tahap keinginan seks yang tinggi. Pada awal tahun ini sahaja, pasukan D11 sudah menerima dua kes membabitkan remaja perempuan yang menawar khidmat seks.

“Mereka ini melakukan hubungan seks bagi tujuan kepuasan dan keseronokan sendiri. Ada satu kes itu, remaja terbabit sudah menawarkan khidmat itu kepada enam pelanggannya, malah ketika ditemu bual mereka memberitahu sudah mula ketagih untuk melakukannya.

“Lebih memburukkan keadaan apabila ahli keluarga tidak mengetahui kegiatan luar dilakukan anak mereka ini. Mereka mempercayai bulat-bulat anak mereka,” katanya.

Siti Kamsiah berkata, ketika ditemu bual, remaja perempuan terbabit mengakui dan menyedari perbuatan itu salah di sisi agama serta merosakkan masa depan.

“Mereka ini tiada ejen sebaliknya menggunakan media sosial untuk mencari pelanggan. Mereka sanggup menawarkan diri serendah RM50 untuk melakukan hubungan terlarang itu.

“Namun hasil temu bual dilakukan, wang bukanlah perkara utama namun kepuasan dapat melakukan hubungan seks lebih menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan ini harus dibendung supaya tidak menular dalam komuniti masyarakat.

“Lebih menggusarkan jika ada individu mengambil kesempatan ke atas mereka. Golongan remaja ini tidak dididik secara sempurna manakala ibu bapa pula tidak mempunyai ilmu dan memberikan kefahaman agama mencukupi.

“Biasanya ibu bapa remaja ‘terbabas’ ini tidak dapat menjangkakan risiko dan ancaman di sekeliling anak-anak selain terlalu memberi kepercayaan.

“Ini akhirnya menyebabkan berlakunya kes rogol di mana ada dalam kalangan remaja melakukan perbuatan itu dengan kenalan media sosial baru dikenali. Di sini bermulanya masalah apabila mereka akhirnya menjadi ketagih terhadap perbuatan maksiat itu,” katanya.

sumber : https://www.agendadaily.com/isu-semasa/sembilan-daripada-10-remaja-perempuan-ketagih-seks-kajian/