Polis sahkan siasatan 1MDB terhadap suami Zeti Aziz hampir selesai

Polis mungkin akan melengkapkan siasatan terhadap Tawfiq Ayman, suami kepada bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB, tidak lama lagi.

Menurut pemangku pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Kamaruddin Md Din, pihaknya kini dalam proses mendapatkan beberapa lagi dokumen untuk melengkapkan siasatan.

“Belum lagi (selesai). Ada dua tiga lagi dokumen yang kita perlu dapatkan.

“Sebaik saja kita dapat dokumen itu, insya-Allah kita akan rujuk (kertas siasatan) kepada pejabat timbalan pendakwa raya,” kata Kamaruddin ketika dihubungi semalam.

Antara dokumen tersebut adalah dokumen perbankan, yang menurutnya perlu didapatkan daripada entiti di dalam dan luar negara.

Kamaruddin juga membayangkan polis pada peringkat ini telah selesai merakam kenyataan bagi membantu siasatan.

Pada Mac lalu, polis mengesahkan sedang menyiasat Tawfiq menurut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (Amla).

Seksyen tersebut berkaitan transaksi melibatkan perolehan daripada kegiatan haram. Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman penjara tidak lebih 15 tahun, denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai transaksi atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, polis Singapura dilaporkan telah memberi makluman kepada Bank Negara berkenaan transaksi meragukan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kepada sebuah syarikat milik suami dan anak lelaki Zeti.

Transaksi itu dilaporkan berlaku pada 2008 dan 2009 dan diberitahu kepada Bank Negara pada 2015 dan 2016, ketika Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura (CAD) mula menyiasat transaksi berkaitan 1MDB.

Zeti bersara daripada Bank Negara pada April 2016.

Laporan itu kembali memberi tekanan kepada Zeti untuk memberi jawapan berhubung dakwaan penglibatan keluarganya dalam skandal 1MDB.

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/578465