Presiden MPM dedah “dalang” sebenar yang buat Ziyad terlambat masuk call room

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berjanji tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati menjadi punca pingat emas dimenangi jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik 2020 ditarik balik.

Bagaimanapun, beliau yang juga ketua kontinjen negara ke temasya sukan berkenaan dalam masa sama enggan menunding jari kepada mana-mana pihak sehingga siasatan kejadian selesai dijalankan.

Katanya, pihaknya akan mengemukakan permohonan bertulis kepada penganjur Sukan Paralimpik 2020 bagi mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengetahui situasi sebenar selepas kelewatan Ziyad memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan yang didakwa menjadi punca kemenangannya dibatalkan.

“Seperti yang semua sudah sedia maklum, satu Jawatankuasa Siasatan antara MPM dan MSN (Majlis Sukan Negara) akan ditubuhkan bagi menyiasat punca insiden ini sebaik tamat temasya Paralimpik.

“Sebenarnya, saya sendiri belum tahu punca sebenar kejadian ini kerana tidak berada di situ. Walaupun saya sebagai ketua kontinjen, namun pemegang kad akreditasi tertentu saja yang dibenarkan berada di sesuatu kawasan dalam venue pertandingan.

“Saya beri jaminan siasatan akan dilakukan secara telus. Sekiranya siasatan sudah dibuat dan terbukti ada pihak yang menjadi punca, saya tidak akan melindunginya, perlu bertanggungjawab terhadap insiden ini.

“Namun, buat masa ini biarlah proses siasatan dilakukan terlebih dahulu. Lagipun, kami juga dalam proses untuk mengemukakan rayuan kepada IPC (Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa) dan Olahraga Para Dunia (WPA) berhubung isu ini. Saya tidak boleh komen lebih-lebih kerana bimbang ia boleh menjejaskan rayuan kita nanti,” katanya kepada BH Sukan.

Isu mengenai siapa yang harus dipertanggungwabkan di sebalik insiden yang menimpa Ziyad itu kini hangat diperkatakan.

Peminat sukan tanah air menyifatkan kelewatan juara bertahan itu memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan yang menjadi punca kemenangannya dibatalkan, adalah sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku dan sukar diterima.

Dek kerana kecuaian itu bukan sahaja Ziyad dan kontinjen negara hilang emas, malah lebih malang dia terlepas ganjaran sebanyak RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik selain RM20,000 kerana berjaya memecahkan rekod dunia dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Jaguh negara berusia 31 tahun itu juga hilang statusnya sebagai pemegang rekod dunia.

Rata-rata peminat sukan negara menyalahkan pegawai pengiring Ziyad yang didakwa gagal melaksanakan tugas mereka sehingga menyebabkan atlet itu lewat tiba di bilik menunggu.

Di Tokyo, Ziyad diiringi ketua jurulatih para negara, R Jaganathan dan jurulatihnya, Faizol Harun.

Dalam pada itu, Megat meminta seluruh rakyat Malaysia untuk bergerak ke hadapan dan terus memberikan sokongan kepada atlet para negara yang lain kerana mereka juga mempunyai potensi untuk menyumbangkan pingat kepada kontinjen negara.

“Kita masih ada Cheah Liek Hou (badminton), Didin Taresoh (badminton), S Suresh (memanah), Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter). Ada lima atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat.

“Kenapa kita perlu fokus kepada satu saja (insiden Ziyad). Seperti yang saya katakan, jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan dan kita juga akan buat rayuan. Rakyat Malaysia kena bergerak ke hadapan kerana bukan hanya satu perkara yang akan menentukan semuanya,” katanya.

sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2021/09/859302/paralimpik-megat-janji-tak-lindungi-pihak-punca-insiden-ziyad