PRN Melaka : Kem Ismail Sabri rancang langgar arahan Zahid, kerjasama PN diteruskan

Satu kem dalam UMNO yang tidak sehaluan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merancang untuk menolak keputusan Presiden UMNO itu yang enggan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Khamis ini, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan memuktamadkan sama ada bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru ataupun bekerjasama dengan parti lain.

Zahid difahamkan akan mempengerusikan mesyuarat Khamis ini sebelum bertolak ke Jerman bagi menjalani rawatan sakit belakang dan akan terlepas berkempen dalam PRN memandangkan pasportnya dikembalikan bermula esok sehingga 21 November ini.

Sumber memberitahu kem Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah mencapai kesepakatan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS dan Bersatu dalam PRN Melaka, sekali gus mengetepikan pendirian Zahid sebelum ini.

“Sudah, sudah selesai rundingan dan kesepakatan,” kata sumber merujuk kepada rancangan kem Ismail Sabri.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan rancangan kem Ismail Sabri itu akan digagalkan oleh Ahli MT UMNO yang diketahui berpihak kepada Zahid dan berkeras untuk masih bertanding secara solo.

Beberapa kenyataan pemimpin tertinggi parti memberikan isyarat bakal berlaku keputusan yang tidak akan memihak kepada Zahid, malah seorang Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini juga berkata parti belum memuktamad keputusan sama ada akan bergerak secara solo di bawah Barisan Nasional (BN) atau bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN Melaka.

“Jadi kita ada masa lagi, BN dan UMNO masih ada masa untuk mencari kaedah yang terbaik untuk PRN negeri Melaka, jadi saya tidak fikir kita sudah ada keputusan untuk UMNO dan BN pergi (hadapi PRN Melaka) secara solo,” katanya dipetik dalam laporan media sebelum ini.

Terbaharu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang sebelum ini banyak menuruti arahan Zahid juga mengeluarkan kenyataan yang tidak lagi selari bosnya itu, ia menimbulkan persoalan sama ada sudah bertukar kem.

Kem Ismail Sabri mungkin cuba melanggar pendirian Zahid yang enggan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, namun ia bakal mengundang satu lagi kemelut politik dalaman parti tersebut.

Untuk rekod, Zahid bertegas dalam beberapa kenyataan secara terbuka sebelum ini yang menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan Bersatu, malah berkata “no way” apabila ditanya berhubung sebarang bentuk kerjasama politik di Melaka nanti.

Sumber memberitahu Ismail Sabri sudah menghubungi semua Ahli MT bagi mendapatkan maklumat berhubung pendirian yang bakal dibuat pada mesyuarat Khamis nanti dan menzahirkan pendirian supaya UMNO bekerjasama dengan rakan parti lain sekiranya mahu menang dalam PRN.

“PM hubungi ahli-ahli MT dan menjelaskan berhubung pentingnya kerjasama politik dengan rakan parti lain jika mahu memastikan kemenangan berpihak kepada mereka,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November

sumber : https://www.agendadaily.com/politik/keputusan-zahid-tolak-kerjasama-bakal-dilanggar-kem-pm-dalam-mt-umno/