Projek Exchange106: Tony Phua dakwa Mahathir buat tuduhan palsu padanya

Berita dipetik dari Malaysiasnow

Ahli Parlimen Damansara dari DAP Tony Pua tampil mengakui dirinya adalah individu yang dirujuk Dr Mahathir Mohamad dalam memoir terbarunya yang bakal dilancarkan, melancarkan serangan ke atas bekas perdana menteri itu kerana memihak kepada “ahli perniagaan jahat” yang dikatakan membuat tuduhan palsu terhadapnya.

Perkara ini timbul selepas laporan MalaysiaNow yang memetik Mahathir daripada bukunya yang akan dilancarkan tidak lama lagi, “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, di mana bekas perdana menteri itu menuduh pembantu bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng masuk campur dalam urusan kerajaan termasuk membuat ugutan terhadap pemaju yang terlibat dalam projek bermasalah di pusat bandar.

Pua berkata projek yang dimaksudkan itu adalah projek Exchange106, bangunan pencakar langit yang merupakan sebahagian daripada projek Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, yang dibangunkan oleh Mulia Property Development Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berkait dengan taikun kontroversi Indonesia Djoko Tjandra.

Namun beliau berkata tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha rundingan dengan syarikat tersebut, sambil menambah Lim memberikan arahan kepada beliau untuk “memantau perkembangan dan resolusi” isu-isu berkenaan projek tersebut.

“Masalahnya adalah, saya tidak boleh ‘mengugut’ pemaju hartanah itu kerana saya tak pernah berjumpa mahu pun bercakap dengan mereka!” kata Pua, sambil menambah usaha rundingan dengan syarikat tersebut dijalankan oleh timbalan ketua setiausaha perbendaharaan, Asri Hamidon dan TRX City Sdn Bhd – syarikat dimiliki kementerian kewangan yang juga pemaju utama Tun Razak Exchange.

MENYUSUL LAGI

sumber : https://www.malaysianow.com/berita/2021/12/07/dr-m-lebih-percaya-taikun-jahat-saya-mahu-selamatkan-duit-pembayar-cukai-kata-tony-pua/