PRU-15 : Anwar mungkin bertanding di Perak…

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak memberi ruang kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada salah satu kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, hasrat itu disampaikan sendiri pimpinan PKR negeri bersama ketua-ketua cabang ketika mesyuarat bersama Anwar baru-baru ini.

Menurutnya, kehadiran Anwar bertanding di Perak dijangka memudahkan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negeri ini selepas berjaya mengukuhkan Negeri Sembilan.

“Kami di Perak percaya, kalau calon itu heavyweight (tokoh besar), mereka kena keluar ke tempat baharu macam perang. Jadi, Perak ini merupakan tanah baharu yang perlu ditawan.

“Kita menjemput dan presiden sangat responsif dan positif. Insya-ALLAH kita tengok. Dalam politik sentiasa berubah-ubah tetapi bukan hanya daripada PKR sahaja, saya rasa rakan parti komponen lain pun hendakkan nama besar seperti ini untuk datang bertanding di negeri mereka,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Jelajah Peduli di pekarangan Pejabat PKR Perak, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, Perak merupakan negeri yang berpotensi untuk dimenangi oleh PH memandangkan rekod keputusan PRU sebelum ini menunjukkan jumlah kerusi yang tipis antara parti kerajaan dan pembangkang.


Farhash Wafa

Jelas Farhash Wafa Salvador, dengan adanya tokoh besar seperti Anwar, peluang untuk menang di Perak dan membentuk kerajaan lebih mudah.

Sementara itu, mengenai calon-calon PKR Perak pada PRU akan datang, beliau menjelaskan, pemilihan dibuat mengikut pertimbangan semasa lebih-lebih lagi dengan kehadiran pengundi baharu menerusi pelaksanaan Undi 18.

“Kalau kita tengok dalam trend akan datang, hampir lapan juta pengundi muda. Sudah tentu kita kena fikir untuk calon-calon baharu dan muda bertanding mewakili parti. Sekarang ini kita tengok hampir 40 peratus pengundi akan datang adalah orang muda.

“Kita di Perak amat serius untuk meletakkan calon muda, muka baharu dalam parti ini dan wanita,” katanya yang juga Ketua PKR Cabang Kuala Kangsar.

Beliau berkata, pihaknya turut memberi komitmen untuk menampilkan lebih ramai kaum wanita pada PRU15 nanti.

Menurutnya, PKR Perak bersedia untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita mewakili parti itu pada PRU akan datang.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/163422/BERITA/Politik/Anwar-dipelawa-bertanding-di-Perak