Raja dari negara top 10 paling bahagia di dunia pun jalani prosedur pasang implan perentak jantung di Malaysia

Mungkin ramai tak tahu raja dari negara top 10 paling bahagia di dunia pun menjalani prosedur memasang implan perentak jantung di Malaysia.

Pada 2 Mac lalu, Raja Norway Raja Harald V selamat menjalani prosedur itu di Hospital Sultanah Maliha di Langkawi ketika bercuti di negara ini.

Usaha itu dilakukan memandangkan raja yang berusia 87 tahun berkenaan mengalami kadar denyutan jantung baginda yang lemah seperti yang disahkan oleh doktor peribadi baginda Bjorn Bendz.

“Keputusan mengenai prosedur itu dibuat awal hari ini dan prosedur itu berjaya.

“Baginda dalam keadaan baik tetapi masih memerlukan rehat,” menurut kenyataan di laman sesawang www.royalcourt.no. yang memetik Bendz.

Lapor Bernama, Bendz berkata, implan perentak jantung tersebut membolehkan Raja tertua di Eropah itu berangkat pulang ke Norway dengan lebih selamat.

Urusan untuk keberangkatan pulang baginda ke Norway sedang dijalankan dan proses itu dijangkakan mengambil masa beberapa hari, menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, Harald yang menggunakan tongkat pernah menjalani pembedahan untuk menggantikan injap jantung pada Oktober 2020 selepas dimasukkan ke hospital akibat kesukaran bernafas.

Sementara itu, fakta menunjukkan Norway di tangga ketujuh negara paling bahagia tahun 2023, menurut Laporan Kebahagiaan Dunia oleh Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bernama 28 Februari lalu melaporkan Raja Harald V, 87, sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi selepas gering ketika bercuti di Malaysia.

Raja Harald V yang menaiki takhta pada 17 Januari 1991 itu dijadual menyambung semula tugas rasmi pada 8 Mac.

Ayahanda kepada Putera Mahkota Haakon iaitu pewaris takhta Norway berkenaan dijadual bertemu ahli Kabinet di Istana Diraja di Oslo, lapor Xinhua.

BACA JUGA Kisah disebalik kubur panjang 2 beradik buat ramai yang terkejut