Presiden Iran meninggal dunia

Presiden Iran Ebrahim Raisi dilaporkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki beliau terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Laporan awal daripada pasukan mencari dan menyelamat menunjukkan bahawa semua penumpang di dalam helikopter itu, termasuk Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian terkorban.

Sebelum itu, Ketua persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Koolivand mengatakan bahawa helikopter yang turut membawa Presiden Ebrahim Raisi yang hilang telah ditemui namun menyatakan situasi tersebut adalah ‘tidak baik’.

“Helikopter itu telah ditemui. Kami sedang menuju ke arah bangkai helikopter tersebut,” katanya.

Terdahulu, Raisi, 63, berada di wilayah Azerbaijan untuk merasmikan Empangan Qiz-Qalasim.

Raisi berlepas bersama Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur dan Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian, dalam sebuah konvoi yang terdiri daripada tiga buah helikopter.

Dua daripada helikopter tersebut mendarat dengan selamat, namun kenderaan yang membawa Raisi itu dilaporkan hilang.

Kehilangan pemimpin negara itu mencetuskan suasana huru hara dengan keadaan pergunungan yang perlu ditempuh pasukan penyelamat, manakala cuaca yang kian memburuk menjejaskan pandangan mereka.

Baca juga: Senang je nak tawan hati mertua, boleh cuba resepi Udang Butter Nestum ini..lagi sedap bila dapat ratah