Rakyat semakin marah. Rakyat bukan sangat hendak beraya. Rakyat faham isunya Covid-19. Akan tetapi rasa tidak puas hati sedang membiak dan berkeliaran. Kemarahan itu saya perlu sebutkan di sini bukanlah kerana gerakan kepembangkangan semakin berkesan. Tidak juga kerana oposisi semakin bersatu. Malah seperti yang terlihat, pihak pembangkang kekal bercempera.
Apa pun kemarahan rakyat kelihatan nyata, meyakinkan, dan jumlah itu mencanak naiknya hari demi hari. Jika bukan pembangkang dalangnya, mengapakah rakyat makin marah dan tidak berpuas hati?
Saya akan cuba menggariskan beberapa telahan awal atau hipotesis (yang tentu saja belum dilihat secara menyeluruh) mengenai kenyataan di atas.
Pertama, terdapat rasa tidak puas hati dan kemarahan yang mendadak kerana terdapat dakwaan pihak berkuasa tidak melayan semua kelas dalam masyarakat secara setara. Hal ini mengakibatkan timbul satu istilah yang makin mendapat perhatian – Kayangan – di mana kelompok ini dicarutkan dengan bebas.
Kelompok Kayangan ini merujuk kepada kaum kerabat yang mempunyai kekebalan dari segi undang-undang kerana mereka adalah kaum atas, dewata, atau kayangan. Selain mereka, kaum Kayangan juga dirujuk kepada kumpulan agamawan yang galak menasihati umat tetapi mereka sendiri melanggar apa yang dinasihati itu.
Kayangan juga disasarkan kepada kumpulan orang kaya atau hartawan yang bebas misalnya untuk ke luar negara seperti terbang ke London untuk apa-apa urusan yang mereka fikirkan perlu.
Lain dari itu terdapat satu lagi kelas Kayangan iaitu kaum selebriti yang terdiri dari pelakon atau penyanyi yang hidupnya mewah dan taring kemasyhuran mereka itu menjadi panjang dengan menghisap perhatian dan juga sanjungan umat. Mereka malah bangga dan megah bisa giat menghisap pahala rakyat. Kumpulan Kayangan ini bebas melakukan apa sahaja seperti dilihat atau didakwa oleh ramai – melanggar peraturan – atau SOP ketika pandemik sedang berlangsung.
Dikatakan rakyat didenda dan dihukum serta-merta manakala kaum Kayangan ini selalu akan terniqab oleh satu lagi lapis iaitu ‘sedang dibuka kertas siasatan’.
Dikatakan kaum Kayangan ini juga mendapat kelebihan seperti beroleh vaksin lebih awal dan apa sahaja khabar angin yang timbul mengenai mereka akan terpadam atau nyahnyala kerana indeks kebebasan bersuara kian merudum.
Kebencian kepada kaum Kayangan ini hari demi hari menjadi jelas dan nyata kerana apa yang terpapar pada media sosial mereka tidak sama dengan imej baik yang cuba mereka tonjolkan. Dalam erti kata lain, rakyat bukan lagi level ‘budak kita’ yang boleh diperbudakkan atau diperbodohkan dengan mudah.
Kedua, turut menjadi faktor kemarahan rakyat ialah kerana kecelaruan maklumat yang bergulir semakin panjang. Maklumat mengenai pelbagai jenis perintah kawalan pergerakan dengan pelbagai jenis SOP, dan juga pelbagai pelbagai jenis kecacamarbaan menyebabkan rakyat terasa lemas dan amat genting.
Apatah lagi terdapat pengakuan bahawa kegentingan itu wajar memandangkan pekerja Genting sudah pun mendapat vaksin awal. Kecelaruan informasi oleh pihak berkuasa ini tidak diuruskan dengan baik di mana rakyat mencari-cari sendiri keterangan dan penjelasan tetapi gagal memperolehinya.
Kecelaruan maklumat ini lebih membakar dan ketara apabila Pengarah Kesihatan sudah terlalu lama tidak memberikan sidang akhbar secara langsung yang akan membolehkan pihak wartawan misalnya bertanyakan secara telus kesahihan pelbagai dakwaan dan khabar angin yang bertiup sejauh dari Abu Dhabi. Di Malaysia, khabar angin selalu dianggap khabar sahih kerana seringnya akan ternyata menjadi benar.
Ketiga, kekelamkabutan maklumat itu berlaku kerana terlihat dengan jelas sekali terjadinya adalah akibat ketidakcekapan pengurusan pihak kerajaan dalam mengendalikan pandemik. Dalam keadaan demokrasi terencat kerana Parlimen digantung, ketatacaraan kerajaan mentadbir negara ini tidak disemak dan menimbulkan keresahan, yang kini bertukar kemarahan.
Pendedahan bekas Ketua Polis Negara mengenai gangguan yang beliau alami dalam pekerjaannya menunjukkan wewenang atau kuasa telah melimpah dan tidak dicatu dengan baik. Kebenaran dakwaan itu memang tidak dapat ditentukan. Namun demikian perlahan-lahan ia dianggap sebagai tragedi dan perkara malang yang menyebabkan negara ini terpelanting dalam kancah negara gagal.
Ini menjuruskan kemarahan kepada tanda pagar yang merupakan penjelasan kepada faktor keempat kegeraman dan kebaranan rakyat iaitu, kegagalan kerajaan. Hal ini misalnya boleh dilihat dalam rungutan netizen dalam ciapan mereka. Pelbagai manifestasi kegagalan itu diperlihat dan dikongsi yang semuanya tidak ditangani dengan baik, bahkan dibiarkan tidak berjawab. Kita belum tahu apakah ini benar fenomena kerajaan gagal, tetapi kecaman dan hujah sedemikian semakin bersipongang.
Dakwaan kegagalan kerajaan ini sudah tentu boleh dirangkumkan sekali dengan semua pertikaian yang disebut di atas kerana ia begitu berkait. Hari demi hari, rakyat menjadi tidak percaya dengan kerajaan. Hal ini jika tidak direbutkan kembali akan membawa kepada satu kancah yang menakutkan, iaitu Malaysia menjadi negara gagal.
Sesebuah kerajaan yang tidak lagi boleh dipercayai boleh menyebabkan pelbagai faktor dan masalah lain pula di masa mendatang. Rasa marah rakyat ini akan melantun dan melenting menjadi keputusasaan, dan ia boleh menjejaskan mental rakyat, seterusnya membawa kita semua ke satu ambang iaitu jurang yang paling menggerunkan; kehancuran moral bangsa dan umat.
Hari ini cakap dan carut terhadap kaum Kayangan amat biasa kerana kegagalan itu dilihat dan dapat dibandingkan. Kegagalan ini terbandingkan misalnya Malaysia terlihat bagaikan India dari segi ketidakcekapan menguruskan pandemik, dan jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan Taiwan atau New Zealand.
Kelima, kemarahan rakyat juga dihubungkan dengan rasa kemelaratan murbawan yang tidak diendah. Kaum marhaen berdepan dengan pergulatan hidup yang sangat serik dan terik. Malah terdapat pendedahan kanak-kanak hidup secara gelandangan setelah kehilangan ibu-bapa. Setiap hari terdapat perkongsian di media sosial mengenai nasib kaum murba yang lapar, terjejas mata pencarian, nanar mencari bantuan, dan terhempuk oleh kesulitan hidup.
Para pelajar yang mengungsi di rumah kerana tidak lagi dapat ke sekolah tidak dibekalkan dengan peranti pembelajaran yang berkesan menyebabkan rasa keterciciran itu menjadi sangat sengit dan tengik. Jerit, laungan, dan lolongan rakyat ini tidak diendahkan malah dapat dikatakan menjadi faktor keenam kemarahan rakyat itu kian terserlah iaitu apa yang dinamai ketulian ‘bayang-bayang tuhan’ (dengan huruf T kecil).
Ketidakendahan ‘tuhan di muka bumi ini’ terhadap rakyat menunjukkan terputusnya hubungan antara kelas. Nyata pandemik menjadi satu iklan kepada perbezaan antara orang biasa dan orang yang diluarbiasakan meskipun mereka itu sebenarnya juga biasa. Ketulian ini membuka kepada pelbagai aib, dan juga ‘fitnah’.
Persoalan ketidakpedulian ini begitu mengejutkan kerana selama ini rakyat merasakan mereka dipayungi atau dilindungi oleh satu lambang sakral yang kudus. Namun demikian simbol itu semakin berani dipertikaikan kerana rakyat berasa mereka tidak lagi beroleh apa-apa manfaat. Bahkan suara teguran itu dilihat sebagai satu kedengkian.
Ketujuh, terhambat oleh pandemik ini, rakyat mulai menagih janji vaksin yang kelihatannya belum kunjung tiba. Rakyat dibiarkan bagai anjing lapar meluru merebutkan bangkai untuk vaksin yang dikirai bagai satu bidaan. Demikianlah rasa sesetengah rakyat diperlakukan. Padahal terdapat dakwaan golongan tertentu telah pun beroleh vaksin. Bahkan jika dibandingkan keperluan seorang guru sekolah dengan seorang penjaga bar di Genting bagaikan langit dengan bumi.
Semua faktor disebut di atas hanya berupa satu hipotesis dan belum lagi tentu benar. Namun demikian inilah nampaknya titik rasa tidak puas hati yang sedang menggejala dan merebak bagai api dalam kalangan perbahasan antara rakyat tanpa mengira kaum.
Semua faktor di atas membawa kepada satu yang lebih mengancam, iaitu semua rukun dalam negara ini sedang rapuh tiangnya. Ini kerana kemarahan rakyat ini sedang menguji semua yang terbentang pada rukun yang kita kenal selama ini. Rukun negara sedang dijilat api.
Kemarahan adalah api, dan api jangan dibiarkan membakar tiang. Jika ia menjilat hangus semua tiang seri maka rumah itu akan roboh. Untuk membinanya kembali setelah ia pernah tersergam indah mungkin memerlukan masa yang lama.
Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2021/05/06/rakyat-makin-marah/