Pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi yang daripada golongan B40 serta M40 Semenanjung layak memohon bantuan tunai RM200 sebulan.
Ia diumumkan menerusi Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani pada selasa lalu namun masih ramai rakyat yang dikhabarkan masih keliru dengan sistem tersebut.
Mereka turut mempersoalkan bagaimana mahu membuat permohonan baharu meskipun sudah mengisi di dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sebelum ini.
Seorang penduduk, Rosli Sulaiman, 45, menyatakan kebingungannya kerana masih perlu membuat permohonan secara dalam talian di bawah kategori Budi Individu.
“Saya pun tidak tahu cara untuk mendaftar dan kalau boleh kita berharap kerajaan dapat perkenalkan cara manual bagi memudahkan rakyat,” tambahnya.
Jefri Chula, 56, dari Klang berkata, jumlah RM200 masih rendah berbanding subsidi diesel yang dinikmati pada masa ini.
Dia turut mendakwa sistem baharu bersubsidi ini bakal membebankan rakyat yang masih terbeban dengan kos sara hidup.
“Saya bimbang pemansuhan subsidi diesel ini akan menyebabkan kenaikan harga barang dan ini sudah tentu keadaan ini menyusahkan rakyat,” katanya.
Baca juga: “Masa suami susah gaji RM800 aku masih sabar, bila senang sikit dia ada hati curang belakang aku”