Rakyat dilarang melakukan hubungan seks selama 3 hari selepas vaksin

Penduduk Rusia dilarang melakukan sebarang aktiviti berat termasuk hubungan intim sekurang-kurangnya selama tiga hari selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Lapor Daily Mail, Timbalan Menteri Kesihatan wilayah Saratov, Dr. Denis Graifer berkata, penduduk harus menjauhkan diri daripada aktiviti berkenaan sepanjang tempoh tersebut.

“Saya percaya semua orang tahu bahawa hubungan intim merupakan aktiviti berat yang memerlukan banyak tenaga.

“Jadi, kami menegaskan kepada semua penduduk yang sudah divaksin bahawa aktiviti fizikal yang berat termasuk hubungan intim tidak digalakkan selepas vaksinasi,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas penduduk Rusia dimaklumkan untuk tidak mengambil minuman alkohol, merokok atau ke sauna sejurus selepas mendapat vaksin Covid-19 mereka.

Rusia merupakan salah sebuah negara mempunyai kadar vaksinasi Covid-19 paling rendah di seluruh dunia.

Hanya 13 peratus penduduk yang menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya berbanding negara Eropah kira-kira 30 peratus.