Ramai ‘katak’ dalam PPBM sudah patah kaki, dakwa Umno

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Umno mendakwa, ramai ‘katak’ dalam PPBM sekarang sudah ‘patah kaki’ dan meninggalkan parti itu.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, Pas juga akan patah kaki.

“Pas akan pecah rekod. Parti paling banyak keluar masuk gabungan politik,” kata Puad menerusi facebook beliau.

Puad berkata demikian selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, Umno umpama itik patah kaki.

Selepas diubati oleh Pas, Umno mahu berjalan sendiri sebagaimana yang diumumkan oleh pemimpinnya yang mahu bertanding solo dalam PRN Johor.

Puad juga berkata, Ustaz Hadi mendakwa BN sudah tidak relevan.
“Dia tidak beri sebarang alasan. Menurut Hadi, perjuangan PN bukan penyatuan ummah sahaja tetapi rakyat Malaysia yang majmuk.

“Kalau begitu, apakah PN adalah parti pelbagai kaum yang relevan?” tanya beliau.

Di PRN Melaka, kata Puad, BN menang majoriti 3/4.

MCA pula menang dua dan MIC satu kerusi.

“BN kembali diterima rakyat,” katanya.

Di PRN Johor pula, katanya, dua ADUN PPBM (Setia Wangsa dan Larkin) keluar parti.

“Kedua duanya Exco. Mereka menang di PRU 14 kerana sokongan undi Cina. Di Puteri Wangsa, pengundi Cina 60%.

“Kali ini mereka tidak yakin pengundi Cina akan sokong PPBM. Sebab itu Muhyiddin tidak berani pertahankan Bkt Gambir (undi Cina 30%).

“Maka relevankah PPBM dan PN?” soal beliau.