Telefon pintar kini menjadi alat dalam berhubung dengan orang sekeliling dan juga orang yang telah lama tidak ditemui.
Ia juga menjadi peranti menyelamatkan diri andai ada tsunami melanda dan juga bencana alam yang lain.
Namun, tanpa kita sedar, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan boleh menyebabkan ketagihan.
Menurut Dr. Ahmad Samhan di Twitter, ketagihan ini kadang-kadang dikenali sebagai nomofobia, yang merupakan singkatan bagi no-mobile phone-phobia, iaitu ketakutan hidup tanpa telefon bimbit.
Bagi mengelakkan kesan negatif di masa hadapan, Dr. Samhan menyenaraikan lima petanda yang boleh kita gunakan sebagai panduan untuk menilai semula kegunaan telefon bimbit kita.
1. Bermasalah menyelesaikan tugas di tempat kerja atau di rumah
Sekiranya anda merasa sukar untuk menyiapkan tugasan di rumah dalam masa yang ditetapkan atau kerja berlebihan melebihi waktu yang sepatutnya, anda mungkin mengalami nomophobia.
Ini boleh disebabkan oleh penggunaan berlebihan aplikasi WhatsApp untuk berbual atau bermain permainan video di telefon.
2. Mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan
Anda mungkin merasakan bahawa kehidupan sosial anda semakin terjejas. Jika anda sering terlepas dari perbualan dengan rakan-rakan kerana terlalu sering menggunakan telefon bimbit.
Atau jika ada orang yang menyatakan kebimbangan mengenai penggunaan telefon anda, semua ini menunjukkan tanda-tanda bahawa anda mungkin telah mengasingkan diri daripada dunia sebenar.
3. Menyembunyikan penggunaan telefon bimbit
Jika anda pernah menyelinap keluar ke tempat lain semata-mata untuk menggunakan telefon, atau menyembunyikan penggunaan telefon pintar daripada majikan dan keluarga, ini adalah tanda bahawa anda mungkin mengalami ketagihan.
Orang yang terlalu terikat dengan penggunaan telefon juga cenderung menjadi gelisah atau marah jika diganggu semasa menggunakan telefon.
4. Berasa takut jika ketinggalan
Jika anda merasa cemas jika ketinggalan sebarang berita atau maklumat penting, atau jika anda sering bangun pada waktu malam hanya untuk memeriksa telefon, ini juga merupakan tanda-tanda ketagihan telefon pintar.
5. Rasa takut, cemas atau panik jika tertinggal telefon
Jika anda merasa cemas atau panik jika telefon tidak berada di dekat anda pada setiap masa, atau jika anda mengalami rasa cemas yang sama jika bateri telefon semakin berkurangan atau telefon tidak dapat dihidupkan, maka itu adalah petanda yang menunjukkan anda mungkin mempunyai ketagihan terhadap telefon pintar!
Baca juga: Taktahu nak bayar hutang sebab poket selalu ‘koyak’? Ini 5 tips mudah…mesti settle cepat!