Ramai sentuh isu 3R, polis tubuh pasukan khas sepanjang PRK Sungai Bakap

Polis di Pulau Pinang telah membentuk sebuah pasukan khas untuk memantau isu-isu berkaitan kaum, agama, dan raja (3R) sepanjang tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, pasukan khas itu akan mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati menyentuh isu berkaitan 3R semasa tempoh kempen.

“Parti-parti politik yang bertanding diingatkan supaya tidak memainkan isu 3R kerana ia boleh mendatangkan ketidakharmonian dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media persediaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadapi PRK Dun Sungai Bakap di sini hari ini.

Beliau mengesyorkan agar parti-parti politik memohon permit lebih awal untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak polis bagi penganjuran ceramah kempen, sama ada secara bergerak atau di satu lokasi tetap. Selain itu, langkah ini juga bertujuan untuk mengelakkan pertembungan antara parti politik semasa kempen berlangsung.

Hamzah menyatakan bahawa setakat ini, pihak polis telah menerima satu permohonan permit daripada sebuah parti politik. Beliau menjangkakan lebih banyak permohonan permit dari parti-parti politik lain akan diterima bermula selepas penamaan calon yang akan diadakan esok.

“Semalam Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Choong Boo Khim sudah menyampaikan taklimat kepada wakil-wakil calon yang akan bertanding berhubung prosedur dan isu-isu keselamatan termasuk yang berkaitan permit, dan juga kawasan yang ditetapkan untuk penyokong berada sepanjang proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi esok,” katanya.

Hamzah menyatakan bahawa seramai 600 pegawai dan anggota polis akan bertugas pada hari penamaan calon esok. Selain itu, 12 pasukan cantas atau pemantau akan ditugaskan sepanjang tempoh PRK untuk memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku serta memastikan PRK berjalan dengan lancar dan selamat.

Baca juga: Panas mencecah 51 darjah celcius, netizen sayu lihat tubuh para jemaah tersadai tepi jalan