Semasa musim cuti sekolah atau apabila ada masa lapang, pasti banyak orang yang melancong. Ada yang melancong bersama keluarga, ada yang melancong dengan kawan-kawan, dan ada juga yang memilih untuk melancong seorang diri.
Ya betul, melancong memang menggembirakan. Ia membantu mengurangkan tekanan yang kadang-kadang terasa sangat berat. Tapi, semasa melancong, adakah anda membawa bersama ubat-ubatan? Anda tidak pernah tahu, mungkin anda akan merasa tidak sihat di tengah-tengah pengembaraan anda.
Boleh jadi anda demam dijangkiti virus, ataupun cirit birit kerana keracunan makanan. Kita takkan pernah tahu bukan?
Jika ingin tahu, terdapat beberapa jenis ubat yang penting untuk dibawa semasa melancong, sama ada di dalam atau di luar negara. Perkongsian ini telah dikongsi oleh Shazril Shaharuddin di laman Facebook beliau.
1. Paracetamol
Ubat pertama yang perlu dibawa adalah ubat demam atau ubat untuk sakit ringan, yang biasanya dikenali sebagai paracetamol. Dalam ruangan kapsyen video yang dimuat naik, Shazril telah menyatakan bahawa dia membawa dua papan paracetamol itu.
2. Cirit birit
Seterusnya, adalah penting untuk membawa ubat untuk masalah cirit-birit, seperti loperamide, diikuti dengan ubat untuk selsema atau alahan, seperti antihistamin. Terdapat dua jenis antihistamin untuk selsema, iaitu yang menyebabkan mengantuk dan yang tidak menyebabkan mengantuk.
3. Cairkan kahak
Kemudian, adalah penting juga untuk membawa ubat mucolytics untuk melarutkan kahak. Siapa tahu, anda mungkin mengalami batuk berkahak secara tiba-tiba dan sukar untuk membuang kahak. Dengan membawa ubat ini, anda boleh merasa lebih selesa.
4. Gastrik
Bila sedang melancong, anda mungkin terlupa untuk makan atau tidak sempat untuk makan. Ini boleh menyebabkan masalah gastrik. Oleh itu, adalah penting untuk membawa ubat gastrik, seperti Antacids. Ubat ini tersedia dalam bentuk pil dan juga cecair.
5. Ubat sengal
Ketika melancong, tidak kira sama ada anda berjalan kaki atau memandu, anda pasti akan merasa sengal-sengal pada badan, bukan? Rasa lenguh di seluruh badan adalah biasa selepas seharian bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Oleh itu, adalah penting untuk membawa ubat untuk melegakan rasa sengal pada badan. Salah satu ubat yang digunakan untuk tujuan ini adalah LMS cream.
Semoga bermanfaat!
Baca juga: Tiga tahun hidup berdua, Elizabeth Tan harap ‘ong’ timang anak tahun depan