Ramai tergelak tengok iklan ini, muka Ruhainies dah kena ‘censor’

Ramai tergelak menonton iklan jenama produk kecantikan, Kitsui apabila wajah cantik pelakon kontroversi Ruhainies kena ‘censor’ dalam promosi sempena Ramadan dan Aidilfitri itu.

Wakil syarikat berkenaan menegaskan tindakan itu bagi mengelak salah faham ekoran kes kena cekup dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Pihak syarikat itu, jelasnya, enggan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang berkelakuan buruk atau terbabit dalam sebarang kontroversi.

“Sempena bulan Ramadan Al Mubarak ini, kami dengan rendah diri ingin memohon ampun dan maaf atas segala kesulitan dan kekeliruan yang berlaku terutama membabitkan seorang artis terkenal tanah air.

“Penggambaran iklan produk ini menggabungkan tiga artis iaitu Wany Hasrita, Hisyam Hamid dan Ruhainies, manakala pemilihan mereka dibuat selepas penelitian rapi dilakukan pada Oktober 2023,” kata pihak terbabit dalam satu kenyataan media.

Wajah dua lagi selebriti yang terbabit dalam komersil tersebut iaitu Hisyam Hamid dan Wany Hasrita bagaimanapun tidak dikaburkan.

Pihak jenama turut berharap insiden membabitkan Ruhainies tidak memberi kesan dan menjejaskan penyiaran iklan berkenaan.

“Berhubung dakwaan ditangkap khalwat yang dihadapi seorang pelakon, kami harap perkara ini tidak memberi kesan kepada tayangan iklan yang dijayakan seramai 100 kru produksi,” ujarnya.

Video berdurasi 10 saat itu turut dimuat naik dan dikongsikan pengguna media sosial dalam pelbagai platform digital.

Menerusi semakan, dialog dilontarkan Ruhainies yang terpalit dengan kontroversi disyaki berkhalwat dengan pelakon Aliff Aziz pada 9 Mac lalu juga tidak dibuang.

Tindakan tegas syarikat pengeluar jenama dan pemasaran produk berkenaan meraih maklum balas ramai yang rata-rata memberikan sokongan padu.

“Mohon haramkan mana-mana artis yang memandang rendah wanita lain, apatah lagi terhadap agamanya sendiri,” kata seorang warganet.

“Harap ini yang terakhir, selepas ini jangan kutip lagi orang macam ni,” tulis pengguna lain.

“Harap selepas ini ambillah selebriti yang lebih layak,” komen pelanggan produk tersebut.

BACA JUGA Resepi pancake ala thai ini dapat 6,000 retweet, lagi best cuma guna 5 bahan je!