Ramai teruja Menteri Kabinet pun sempat buat aktiviti ini

Orang ramai dilihat teruja melihatkan Menteri Kabinet melakukan senaman ringan atau x-break semalam.

Mereka melakukan aktiviti itu selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS).

Rakaman video aktiviti regangan itu dikongsi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi Facebook rasmi beliau.

Turut kelihatan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Digital, Gobind Singh serta beberapa menteri lain.

Paling kelihatan teruja bersenam hingga jadi sebutan warganet ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah berkata, senaman ringan itu dilakukan untuk memastikan semua kekal aktif bagi meneruskan rutin pekerjaan dan tugasan masing-masing.

“Saya berharap aktiviti yang ringkas dan berkesan seperti senaman X-Break ini dapat diterapkan oleh setiap kakitangan kerajaan terutamanya sewaktu mengadakan mesyuarat, perbincangan, kursus, tugasan makmal atau bengkel mahupun ketika bekerja di hadapan komputer agar dapat terus kekal aktif dan segar sewaktu bekerja,” kata beliau.

Apa yang anda perlu tahu tentang X-Break?

Ini perkongsian bermanfaat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia:

X-Break adalah aktiviti regangan ringkas di ruang kerja dan dilakukan semasa waktu bekerja.

Waktu dan tempoh

Sektor awam dan swasta diberi fleksibiliti melaksanakan senaman ringan atau X-Break selama 15 minit semasa waktu bekerja mengikut kesesuaian dan masa operasi organisasi masing-masing mengikut contoh pilihan berikut:

15 minit sebelah pagi atau petang;

Contoh:

Melaksanakan senaman ringan seperti berjalan pantas di pejabat/ naik turun tangga/ lari setempat/ lompat bintang (star jump), senaman menggunakan muzik iringan dan lain-lain.
5 minit setiap sesi bagi selang masa 2 jam;

Contoh:

  • Sesi mesyuarat/ kursus/ bengkel pada 9 pagi, senaman ringan atau X-Break pada jam 11 pagi.
  • Sesi mesyuarat/ kursus/ bengkel pada 2 petang, senaman ringan atau X-Break pada jam 4 petang.

Sesi X-Break ini diadakan ketika penjawat awam dan pekerja swasta sedang bekerja tidak kira sama ada sedang berbincang, bermesyuarat, menghadiri seminar, bengkel mahupun kursus di dalam atau di luar pejabat mengikut budi bicara Pegawai/ pengurusan atasan.

Penglibatan penjawat awam dan pekerja swasta

Sesi ini boleh dilakukan secara berkumpulan atau berseorangan dan sesuai pada semua peringkat umur termasuk ibu mengandung atau individu kelainan upaya.

Setiap sesi senaman ringan atau X-Break secara berkumpulan boleh diketuai oleh seorang instruktur/ penjawat awam/ ketua di pejabat semasa waktu bekerja, mesyuarat, seminar, kursus, bengkel bagi memastikan sesi tersebut dijalankan di tempat kerja masing-masing.

Senaman ringan atau X-Break boleh dilaksanakan menggunakan bebanan badan individu (body weight) atau menggunakan peralatan seperti loop band/resistant band dan lain-lain.

BACA JUGA Rupanya ada beza cara orang Melayu dan Cina ‘parking’ kereta, wanita ini kongsi situasi kejiranannya