Ramai tidak tahu kenapa Mahkamah Persekutuan batalkan 16 peruntukan enakmen syariah Kelantan, ini sebabnya-Peguam Amanah

Keputusan kes petisyen Nik Elin Zurina binti Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha binti Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan (Petisyen No. BKA-2-05/2022(D)) dijadualkan akan disampaikan oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024. Sememangnya setiap kes yang difailkan di Mahkamah akan mempunyai titik noktah akhir.

Di Facebook seorang peguam Amanah Dr Zulqarnain Lukman menguraikan macam mana perkara itu terjadi.

Keputusan kes Mahkamah ini adalah ibarat bermain pertandingan bola sepak. Mesti ada yang menang dan ada yang kalah. Ada kala sesuatu permainan itu akan berakhir dengan keputusan seri.

Kesemua keputusan itu haruslah dihormati oleh semua pihak dan penonton. Pemain bola sepak pula terpaksa bekerja keras untuk menang pertandingan itu (kecuali kalau tidak dibayar gaji mestilah down teruk pemain itu).

Pokoknya keputusan Mahkamah Persekutuan ini perlu dihormati dan dijadikan asas untuk bergerak ke hadapan. Ada pihak yang menyatakan bahawa keputusan kes ini dianggap sebagai ancaman kepada Syariah sehingga terpaksa untuk membuat perhimpunan yang dinamakan ‘Himpunan Selamatkan Syariah’.

Pelik bin ajaib juga kenapa dinamakan himpunan ini sebagai Himpunan Selamatkan Syariah sedangkan inti pati petisyen kes Nik Elin ini adalah untuk mencari sempadan bagi kuasa penggubalan undang-undang sama ada di DUN atau di Parlimen.

Dalam ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam Opening of Legal Year 2024 pada 15 Januari 2024 menyatakan di perenggan 30, ‘These cases had nothing to do with the fact of the pure religion of Islam. They merely sought to reemphasise the clear demarcation of powers between the federation and the States’ (Kes-kes ini tiada kaitan dengan prinsip fundamental agama Islam.

Cari kepastian kuasa Persekutuan dan Negeri

Mereka hanya mencari satu kepastian mengenai pembahagian kuasa antara Persekutuan dan Negeri). Ucapan Ketua Hakim Negara ini merujuk kepada kes Iki Putra bin Mubarrak v Kerajaan Negeri Selangor & Anor [2021] 2 MLJ 323 dan kes SIS Forum (M) v Kerajaan Negeri Selangor (Majlis Agama Islam Selangor, intervener) [2022] 2 MLJ 356. Kes Nik Elin ini juga adalah difaillkan dan dihujahkan mengikut hujahan yang sama seperti kedua-dua kes tersebut.

Jika dilihat kepada kes Iki Putra dan kes SIS Forum ini kedua-duanya adalah dibuat semasa pemerintahan Perikatan Nasional yang mana beberapa menteri daripada PAS juga berada dalam kabinet ketika itu.

Apakah tindakan yang dibuat oleh kerajaan dan PAS pada ketika itu untuk mengkaji impak daripada kes Iki Putra dan kes SIS Forum berbanding dengan kerajaan sekarang ini.

Sekurang-kurangnya, kerajaan madani sekarang sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji isu berkaitan dengan kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam. Kenapakah tidak pula dibuat Himpunan Selamatkan Syariah ketika itu seperti yang dibuat ketika ini.

Jadi nampaknya nawaitu Himpunan Selamatkan Syariah ini sebenarnya adalah bermotifkan politik bagi membangkit kebencian kononnya kerajaan madani pada hari ini adalah tidak sensitif kepada Islam. Ini kerana jika dikaji kes Nik Elin ini terdapat beberapa sebab mengapa ianya bukan berkaitan dengan kuasa Mahkamah Syariah atau berkaitan Syariah itu sendiri. Berikut adalah sebab-sebab tersebut:

  1. Kes ini tiada kaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan langsung tidak mempertikaikan kewujudan Mahkamah Syariah.
  2. Inti pati kes ini adalah untuk mencari garis sempadan kuasa menggubal undang-undang dalam sistem Federalisme sama ada kuasa itu di bawah Parlimen atau pun DUN.
  3. Undang-undang yang dipertikaikan ini adalah masih boleh wujud cuma kewujudannya itu kelak sama ada di bawah undang-undang Parlimen atau DUN.
  4. Undang-undang yang dipertikaikan ini bukanlah undang-undang yang termaktub secara qatie dalam Al-Quran atau Al-Sunnah dan hanyalah berbentuk undang-undang takzir. Kita ambil satu contoh iaitu, Seksyen 30 (Enakmen Jenayah Syariah) – Kata-kata yang boleh memecah keamanan yang hampir sama dengan Seksyen 298 (Kanun Keseksaan) – Menyebut perkataan-perkataan dsb., dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama seseorang. Jadi oleh kerana ianya berstatus takzir maka tidaklah menjadi satu ralat yang besar sekiranya kesalahan itu dibicarakan di Mahkamah Majistret.
  5. Pemfailan kes ini adalah menurut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan yang mana semua pihak perlu akur dengan proses perundangan.

Satu perkara lagi, kita sendiri tidak tahu sejauh mana pihak DUN mendapatkan nasihat perundangan semasa penggubalan seksyen-seksyen ini. Adakah pihak DUN telah mendapat nasihat perundangan yang sewajarnya dan telah mengambil kira isu kompetensi DUN.

Selain itu, mungkin juga sudah berlaku perubahan dan perkembangan undang-undang semasa iaitu pada ketika itu berdasarkan kes Sukma Darmawan (1998) pandangan hakim ketika itu melihat bahawa sesuatu undang-undang jenayah sivil boleh wujud secara paralel dengan undang-undang jenayah syariah sedangkan dalam Iki Putra memutuskan sebaliknya.

Namun, ini tidak pula menjadikan kita bersetuju sepenuhnya dengan petisyen Nik Elin ini. Ada juga yang sepatutnya undang-undang itu dikekalkan untuk dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana ianya berkaitan dengan doktrin agama Islam contohnya, berkaitan Seksyen 5 (Syariah) berkaitan dengan dakwaan palsu sebagai Rasul, Nabi, Imam Mahdi atau keramat atau sebagai orang yang mengetahui perkara ghaib. Cuma apa yang perlu ditegaskan di sini adalah bahawa fungsi Mahkamah Persekutuan dalam kes ini hanya untuk menetapkan sempadan yang mana bidangkuasa DUN dan yang mana bidangkuasa Parlimen.

Penetapan sempadan ini sangat penting supaya undang-undang itu tidak lagi menghadapi cabaran yang sama pada masa hadapan dan jika perlu dibuat pindaan undang-undang maka langkah-langkah meminda itu perlu dilaksanakan segera.

Hal ini sama seperti jika seorang itu membeli sebidang tanah untuk membina rumah. Maka, adalah mustahak bagi orang itu untuk mengupah jurukur tanah bagi mengukur keluasan sebenar tanahnya sekaligus meletakkan batu sempadan supaya kelak jika dia tidak membina rumah di atas tanah milik jirannya.

Justeru, sebenarnya tidak timbul langsung isu untuk selamatkan Syariah kerana Syariah di Malaysia ini sudah cukup terbela dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kewujudan pelbagai lagi peruntukan undang-undang berkaitan agama Islam. Kita semua juga bebas untuk beramal dengan kelima-lima rukun Islam tanpa sebarang sekatan.

Apa yang masih perlu dipertingkatkan sekarang adalah kedudukan akhlak, adab dan ekonomi orang Islam kerana itulah yang sebenarnya kita hilang dalam peradaban dan sekaligus menyelamatkan syariah.

Baca juga: Warganet teruja Khairul Aming belanja ibunya barang kemas selepas jualan cecah RM12 juta