Ratu Super Jimat, Ji-Hyeon Kwak kembali tular selepas dia mengumumkan telah berjaya menyimpan RM353,887 dalam masa dua tahun.
Sebelum ini, wanita muda Korea Selatan itu mengumpul 100 juta won (RM353,887) dalam tempoh empat tahun dengan purata gaji RM 7,000 sebulan.
Kwak walaupun tidak bergaji besar menyiarkan tangkapan skrin akaun simpanannya yang menunjukkan lebih 200 juta won.
Selepas melakukan teknik penjimatan wang yang ekstrem, dia dapat menyimpan jumlah wang yang sama dalam tempoh empat tahun dengan hanya mengambil masa dua tahun!
Dia memberitahu pengikutnya di media sosial yang pada awalnya agak bimbang untuk menggandakan simpanan.
Namun, rupanya ia lebih mudah daripada yang difikirkannya.
“Selepas mencapai 100 juta won, saya merasakan bahawa kelajuan mengumpul wang semakin pantas.
“Saya mahu menyimpan lebih banyak lagi dan hanya berbelanja dalam jumlah kecil untuk mencapai sasaran seterusnya 300 juta won,” katanya.
Wanita berusia 25 tahun itu berjaya menjimatkan sehingga 90 peratus daripada gaji bulanannya!
Rupanya, Kwak hanya membelanjakan sekurang-kurangnya 8,400 won (RM30) untuk makanan sebulan.
Hidup Ratu Jimat itu banyak bergantung pada kupon diskaun dan tawaran penjimatan.
Gadis berkenaan juga memanaskan air paip dan tidak membeli minuman.
Malah, perkara yang jarang orang lain lakukan apabila Kwak memotong rambutnya sendiri!
Bagi membuktikan dia mengamalkan apa yang dikongsinya bersama 20,000 peminat di YouTube sahaja, Kwak turut menunjukkan perbelanjaan bulanannya.
Dalam bulan Januari contohnya, dia membelanjakan hanya 500,000 won (RM1,769).
Jumlah itu termasuk kos makanan, pengangkutan dan insurans.
Tahun lalu, Kwak muncul menjadi tajuk berita di Korea Selatan selepas membuat kemunculan dalam program televisyen popular iaitu Master of Living SBS.
Dia mendapat perhatian ramai kerana komitmentnya yang sangat berjimat.
Pada masa itu, dia telah menjadi orang termuda di Korea Selatan yang memenangi langganan apartment (apartment subscription).
Pencapaiannya itu sangat mengagumkan kerana agak mustahil untuk orang muda memenanginya disebabkan tidak mempunyai simpanan yang banyak.
Orang ramai digalakkan untuk menyimpan wang dalam akaun simpanan langganan itu untuk meningkatkan peluang mereka dan kebanyakan mereka yang berumur 24 tahun tidak mempunyai simpanan yang banyak.
Pada masa ini, Kwak mempunyai komuniti dalam talian yang berkembang pesat berikutan perjalanannya menyimpan wang.
Dia turut berkongsi teknik menyimpan wang.
Apa sahaja wang yang dia peroleh melalui media sosial tidak diletakkan bersama wang simpanannya. Dia hanya mengira wang yang dia simpan daripada gajinya.