Sejak lewat petang semalam, gambar puluhan kampit beras, tin sardin, dan tepung yang dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum dekat sini telah menjadi viral di media sosial.
Gambar tersebut menjadi tular selepas dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial di Facebook dan TikTok yang kebetulan melalui jalan berkenaan.
Kejadian itu menyebabkan ramai memberikan komen negatif dan membuat pelbagai andaian mengapa perkara tersebut terjadi, termasuk antara punca kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran sekarang.
Suasana itu bertambah buruk apabila ada pihak yang mengambil tindakan membakar barangan tersebut. Walau bagaimanapun, sehingga kini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas perbuatan membazir tersebut.
Berdasarkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai, beras dan makanan lain itu dibuang kerana sudah luput tarikh dan rosak selepas disimpan terlalu lama.
Namun, ada pengguna media sosial mendakwa bahawa perbuatan itu dilakukan oleh seorang ahli politik yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Dakwanya, semua barang makanan itu sepatutnya diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar daerah Temerloh dan Maran pada Januari lalu.
Namun, sehingga kini belum ada pihak yang tampil mengaku dan menafikan dakwaan berkenaan.