Rauf pertahan projek tambak laut di Melaka, anggap beri pulangan besar

Berita dipetik dari Agendadaily

Salah seorang calon Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mempertahankan projek tambak laut di Melaka kerana ia memberi pulangan yang besar kepada kerajaan negeri itu.

Rauf yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara enggan melayan keluhan para nelayan yang menolak projek tambak laut besar-besaran di Melaka, sebaliknya menegaskan projek tersebut berjaya menarik pelabur ke Melaka dan menjana pendapatan kepada orang ramai.

“Jadi, dengan adanya tambah nilai penambakan laut ini, banyak pelabur yang datang untuk melabur dalam industri perhotelan, dalam bentuk perindustrian dan ia telah memberikan pulangan yang baik kepada kerajaan negeri,” katanya dipetik dalam laporan Malaysiakini hari ini.

Berhubung keluhan para nelayan, Rauf berkata mereka masih boleh meneruskan kehidupan seperti biasa kerana laut di pesisir Melaka luas dan boleh mencari hasil seperti biasa.

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh at press conference before attending the UMNO division chiefs meeting at Menara Dato Onn in PWTC. AZMAN GHANI / The Star

“Tetapi nelayan boleh lagi meneruskan kehidupan sebagai nelayan kerana laut tu luas, bukan sahaja di dalam kawasan ditambak ini.

“Walaupun ada kesan, tetapi kerajaan negeri akan memberikan perlindungan untuk mereka ini supaya pembangunan itu boleh dimajukan dan pendapatan mereka tidak terjejas,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, isu tambak laut tersebut dirancang kerajaan terdahulu dan bukan hanya semasa era kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Saya nak menjawab soalan ni supaya kita lebih terbuka. Isu tambak laut ini bukan zaman kita (BN) yang tempoh 19 bulan ni.

“Tambak laut ni dah berlaku sejak 20 tahun terdahulu oleh perancangan yang dibuat oleh kerajaan negeri bagi menjadikan kawasan koridor tambakan ini sebahagian daripada sumber ekonomi negeri untuk tarik pelabur di kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dimajukan,” katanya lagi.

Terdahulu, isu pasir menjadi panas selepas seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, Datuk Seri Idris Haron mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir.

Idris memberi alasan terpaksa menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka untuk menyelamatkan UMNO daripada ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kalau UMNO terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan tangan kanan dan kiri, suap ke mulut sambil mata menjeling lagi makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka.

“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak dari tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti. Semuanya berlaku dengan jelas. Ini penipuan yang akan menyebabkan UMNO ditolak mentah-mentah dalam PRU akan datang. Saya percaya dan yakin rakyat menyedari hakikat ini,” katanya sebelum ini.

Idris juga bersama tiga bekas ADUN lagi menarik sokongan terhadap KM, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga terjatuhnya kerajaan Melaka dipimpin UMNO.

sumber : https://www.agendadaily.com/politik/calon-km-melaka-pertahan-projek-tambak-laut-beri-pulangan-besar/