Rayuan ibu ditolak, Mahkamah kekalkan keputusan batalkan keislaman kanak-kanak

Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu menolak rayuan seorang ibu yang mualaf dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral dua kanak-kanak.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam keputusan sebulat suara berkata, Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes guru tadika, M Indira Ghandi.

“Kami berpendapat bahawa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan ini terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi.

“Kami mendapati tiada kesilapan rayuan oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi. Oleh itu kami mendapati tiada merit dalam rayuan ini. Kedua-dua rayuan ditolak. Keputusan hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan. Tiada perintah mengenai kos,” kata Hakim Mohamad Zabidin pada prosiding secara maya pada Rabu.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk S Nantha Balan dan Datuk Nordin Hassan.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/169064/BERITA/Semasa/Mahkamah-kekal-keputusan-batal-pengislaman-dua-kanak-kanak