Rayuan Rosmah gugurkan kes rasuah tidak berjaya

Datin Seri Rosmah Mansor hari ini gagal dalam cubaan membatalkan perbicaraan kes rasuah RM1.25 bilion terhadapnya membabitkan projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas memutuskan pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, beliau percaya Sri Ram berada dalam kemampuannya sepertimana pelantikan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menetapkan 9 September lalu sebagai tarik keputusan permohonan berkenaan, namun ditangguhkan pada hari ini.

Sri Ram sebelum ini berhujah, pelantikan beliau selaku pendakwa raya bermula 30 Ogos 2018, adalah sah.

Ini kerana Seksyen 50(b) Akta Tafsiran 1948/1967 (Akta 388) menyatakan mana-mana badan boleh melantik individu yang sesuai secara kebelakang untuk melaksanakan tugasnya.

Hujah Sri Ram, Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah pula memberi kuasa kepada Peguam Negara melantik timbalan pendakwa raya untuk menjalankan tugas pendakwa raya.

Sehubungan itu, beliau berhujah, pelantikan yang dibuat oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah walaupun surat lantikan ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bertarikh 21 Mei lalu.

Sementara, Jagjit berpendapat pelantikan Sri Ram bertujuan untuk mengendalikan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan tidak berkaitan dengan kes solar Rosmah.

Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju memberikannya kepada pasukan pembelaan.

Rosmah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lalu.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 Nov 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Sebaliknya surat itu bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani oleh Peguam Negara ketika ini, iaitu Tan Sri Idrus Harun.

Pada 15 November 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak. – Awani

Rosmah fail permohonan batalkan perbicaraan kes rasuah

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/163175/BERITA/Semasa/Rosmah-gagal-gugurkan-Sri-Ram-batal-perbicaraan-kes-rasuah

COMMENTS