Kanak-kanak yang sedang membesar pasti ada fasa yang tidak mahu makan walau seenak apa pun makanan itu.
Pasti pening kepala ibu bapa dalam mencari makanan yang dapat membuka selera anak kesayangan mereka.
Apa kata ibu bapa cuba resepi yang dikongsikan oleh pelakon dan pengacara jelita Hanis Zalikha. Mudah mudahan dapat membuka selera anak-anak.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah:
A) Bahan kisar
2 keping dada ayam
2 biji telur ayam
1 biji bawang merah
1 biji bawang putih
1 kiub pati ayam
1/2 cawan tepung jagung
1 sudu tepung serbaguna
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil lada sulah
B) Bahan salutan
1 cawan tepung jagung
1 sudu serbuk kari ikan
1 sudu kecil smoked paprika
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil garam
1 cawan air
Serbuk roti
Cara membuatnya:
Campurkan semua bahan A ke dalam pengisar dan proses hingga menjadi halus.
Campurkan semua bahan B ke dalam satu bekas, kecuali air dan serbuk roti, dan kacau rata menggunakan pengadun tangan atau whisk sehingga semua bahan tercampur dengan baik.
Anda boleh menggunakan scoop aiskrim atau sudu untuk membentuk adunan yang telah dikisar menjadi bentuk bulat seperti bebola ayam.
Anda juga boleh membentuknya mengikut bentuk yang anda suka. Kanak-kanak pasti suka bentuk kegemaran mereka menjadi makanan.
Kemudian, masukkan bebola ayam yang telah dibentuk ke dalam bekas yang berisi bahan B untuk menyalutinya. Pastikan bebola ayam dilapisi dengan baik oleh campuran bahan B.
Selepas itu, bancuh lebihan bahan B yang tadi dengan secawan air. Kemudian, celupkan satu persatu bebola ayam ke dalam bancuhan ini namun pastikan juga bebola ayam dilapisi dengan baik oleh bancuhan tersebut sebelum menggorengnya ya.
Salutkan bebola ayam dengan serbuk roti kemudian goreng ke dalam minyak masak yang sudah dipanaskan.
Bebola ayam sedia untuk dihidangkan.
Baca juga: Kes hilang makin menjadi-jadi, netizen bimbang nasib Nur Aina Faqihah