Tular baru-baru ini apabila seorang pengguna Facebook memuat naik sebuah hantaran yang menerangkan tindakan kotor sebuah gerai makan yang membungkus makanan dengan kertas dari buku log masuk restoran.
Memetik laporan The Rakyat Post, Jasonino menyifatkan kejadian itu sebagai pengotor dan bodoh kerana kertas yang digunakan itu telah dicemari oleh ratusan orang.
Selain itu, kertas pembungkusan makanan tersebut turut mendedahkan data peribadi pelanggan di mana dengan jelas tertera nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon orang.
Difahamkan bahawa restoran yang menyediakan makanan tersebut adalah Restoran Uncle Rahmat. Tindakan pihak restoran yang tidak bertanggungjawab jelas tidak disenangi netizen.
Di dalam hantaran tersebut, Jasonino turut meminta agar Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah Kementerian Kesihatan untuk mengambil tindakan tegas terhadap restoran terbabit.
Ia turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memeriksa adakah restoran tersebut melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia (PDPA).
Kenyataan Restoran Uncle Rahmat
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik semalam, pihak restoran menyatakan bahawa salah seorang pekerjanya telah membuat keputusan sendiri apabila membalut makanan menggunakan kertas tersebut.
Ini berlaku disebabkan kertas pembungkusan makanan yang digunakan telah kehabisan stok dan tanpa bertanya kepada penyelia, pekerja terbabit telah menggunakan kertas daripada buku log.
Pihak restoran berkata bahawa apa yang dilakukan oleh perkerjanya tidak boleh dimaafkan dan mereka telah mengenal pasti pekerja yang melakukan perkara terbabit serta telah memberhentikannya daripada kerja secara serta merta.
“Kami mohon maaf atas kecelakaan ini. Mudah-mudahan orang ramai masih memberi kami satu lagi peluang untuk memperbaiki kesilapan kami dan melayan dengan lebih baik di masa akan datang.”
sumber : https://www.thevocket.com/balut-makanan-guna-kertas-buku-log-tindakan-restoran-ini-dianggap-bodoh-dan-pengotor/