Restoran tutup seminggu sebab Chef putus cinta

Restoran tutup seminggu sebab Chef putus cinta. Sebuah restoran di Jurong, Singapura dipercayai telah ditutup selama seminggu selepas tukang masaknya didakwa patah hati kerana putus cinta.

Bagaimanapun, ia sebenarnya hanyalah salah satu cara kreatif untuk mengumumkan penutupan sementara oleh pemilik gerai.

Memetik laporan Mothership, foto papan tanda sementara dalam bahasa Cina yang memaklumkan mengenai penutupan restoran itu telah dikongsi oleh seorang pengguna Facebook.

“Cef kami putus cinta, dia kini sedang mencari ketenangan. Kami akan berehat selama seminggu (7 hingga 13 April).

“Jangan risau, cef kami tidak akan terjun ke dalam laut,” tulis pemilik restoran itu.

Pemiliknya yang hanya dikenali sebagai Ye menjelaskan bahawa dia berharap agar dapat membawa kegembiraan kepada pelanggannya dengan pengumuman tersebut.

Menurutnya, ia juga hanyalah satu cara inovatif untuk memaklumkan kepada pelanggan bahawa tukang masak telah dipindahkan buat sementara waktu ke cawangan lain kerana masalah kekurangan tenaga kerja.

Difahamkan, restorannya mempunyai tiga cawangan yang terletak di Toa Payoh, Tampines dan Jurong.

Tambahnya lagi, beliau membenarkan kakitangannya yang kebanyakannya warga Malaysia untuk pulang ke rumah setelah dua tahun sempadan ditutup.

Pekerja mereka mengambil cuti secara berkelompok untuk melawat keluarga masing-masing selepas sekatan sempadan dilonggarkan. Ia menyebabkan restorannya kekurangan kakitangan buat sementara waktu.

Dia juga memutuskan untuk memindahkan tukang masak dari cawangan Jurong ke cawangan lain sebagai langkah sementara untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja.

Baca Juga: Penduduk Shanghai bunuh diri ekoran lockdown yang terlalu ketat

Baca Juga: Saintis beri amaran dunia akan kehabisan makanan pada 2050