Peneroka Felda yang berpendapatan RM1,000 ke bawah bakal menerima bantuan khas bersasar sebanyak RM300 menjelang Aidilfitri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu melibatkan setiap peneroka di 317 Tanah Rancangan Felda di seluruh negara.
“Peneroka berpendapatan RM1,000 ke bawah dan peneroka yang berpendapatan RM1,001-RM2,000 pula akan mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Santunan Kasih Ramadan 1445H di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak di Sungkai, Perak semalam.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berkata, pihak kementerian telah meluluskan projek membina jalan dari Felda Trolak Selatan ke pekan Trolak, Muallim pada tahun lalu dengan kos RM35 juta.
“Projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) ini sedang dalam peringkat rekabentuk dan dijangka ditender pada Oktober 2024.
“Skop projek ini adalah membina jalan sepanjang 2.3 kilometer (km) dengan spesifikasi JKR R1.
“Agensi pelaksana projek ini adalah Jabatan Kerja Raya dan bakal memberi manfaat kepada penduduk di Felda Trolak dengan menjimatkan masa perjalanan ke pekan Trolak dari 30 minit kepada 10 minit sahaja,” katanya.
Tambah beliau, bagi memberi peluang kepada generasi keempat dan kelima Felda, Majlis TVET Negara diarahkan untuk menyelaraskan program Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khususnya TVET Generik dan TVET Aras Tinggi bagi meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan.
“Ini termasuk tawaran kursus oleh Institusi TVET Awam seperti GiatMARA, Akademi Binaan Malaysia, Institut Latihan Perindustrian, Kolej Yayasan Felda dan Kolej Komuniti.
“TVET Generik merangkumi skop kursus seperti eknologi Mekanisasi Ladang, bidang pertanian dan penternakan, teknologi kimpalan dan pendawaian, manakala TVET Aras Tinggi seperti Teknologi Aeroangkasa, Digital, Rel, EV (kenderaan elektrik) dan Mikroelektronik (Chip Design),” katanya lagi.