Ribuan ringgit melayang gara-gara dijanjikan bersama ‘Mawla’, akhirnya ramai tertipu hanya umrah DIY

Lebih 100 jemaah umrah terkilan selepas ribuan ringgit melayang gara-gara dijanjikan mengerjakan ibadat bersama ‘Mawla’.

Sebaliknya, mereka tertipu secara berjemaah kerana hanya umrah DIY (sendiri) saja selepas cuma diberikan visa pelancong.

Rupanya, ramai terperdaya dengan skrip ‘pemasaran’ untuk menjual pakej umrah lantaran taksub ingin menunaikan ibadah umrah dengan teratur bersama ‘Mawla’.

Penganjur umrah yang menunggang nama Nabi Muhammad SAW itu merupakan madrasah yang sama mempromosikan seorang lelaki dengan gelaran ‘Mawla’ yang didakwa keturunan Rasulullah SAW.

Sudahlah mengenakan bayaran tinggi dengan pelbagai janji manis tetapi hanya diberikan visa pelancong menyebabkan ibadah umrah mereka yang seharusnya dilengkapi dengan jadual program, hanya umrah DIY saja.

Bahkan, keselesaan hotel serta penerbangan yang dijanjikan turut lebur kononnya harga penginapan di tanah suci berkenaan melambung naik dan meminta wang tambahan daripada jemaah.

Memetik laporan Harian Metro, seorang wanita yang dikenali sebagai Laila, 50-an berkata, dia bersama suami setuju untuk mengambil pakej umrah berkenaan.

Mereka tertatik dengan pakej umrah yang dianjurkan madrasah itu lantaran penyertaan ‘Mawla’ terbabit.

Jelasnya, dia serta jemaah lain turut merasa tertipu kerana mereka pergi menggunakan visa pelancong dan bukannya visa umrah.

“Siapa yang tidak mahu untuk menunaikan umrah bersama-sama keturunan Rasulullah SAW, pastinya ibadah umrah berkenaan akan lebih bernilai daripada pakej umrah yang lain.

Masyarakat Islam di Malaysia mesti celik jangan mudah terperdaya dengan mana-mana pihak yang menunggang agama dan nama Rasulullah SAW.

“Untuk tujuan itu, saya serta suami mengambil pakej A bernilai RM8,000 seorang dan wang itu dimasukkan kepada akaun sebuah madrasah.

“Seminggu sebelum bertolak ke tanah suci, saya dihubungi oleh seorang ahli khidmat madrasah untuk memasukkan wang RM500 lagi kepada akaun yang diminta,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Laila berkata, dia bertanyakan berhubung penambahan bayaran berkenaan.

Jawab mereka, kononnya berlaku kenaikan harga penginapan hotel di tanah suci.

“Sebelum pergi, ahli khidmat ini menyatakan bahawa kami (semua jemaah) akan mempunyai banyak masa dengan ‘Mawla’ sedangkan hakikat sebenarnya tidak begitu.

“Kami hanya ada beberapa minit saja dengan lelaki berkenaan sepanjang umrah terbabit dan saya sangat terkilan dengan perjalanan umrah umpama umrah DIY saja,” cerita Laila lagi.

BACA JUGA Kubur mewah berharga RM367,000 buat netizen melopong