RM3.1 juta tak mampu ganti hilang kepala alat sulit

  • Post author:

RM3.1 juta tak mampu ganti hilang kepala alat sulit. Tiada wang di dunia yang mampu menghilangkan rasa sakit pemuda yang kehilangan kepala alat sulit ketika berkhatan 12 tahun lalu.

Menurut Harian Metro, Hakim Datuk Akhtar Tahir yang memerintahkan Kerajaan Malaysia dan empat yang lain membayar ganti rugi RM3.1 juta kepada mangsa dalam keputusan kes saman kecuaian pada 7 April lalu.

Dia memaklumkan tiada ganti rugi dapat menggantikan aset paling berharga seorang lelaki dan kesengsaraan serta perasaan malu mangsa disebabkan ‘kehilangan’ itu.

Walaupun begitu, Akhtar berkata mahkamah perlu memberikan ganti rugi yang boleh membantu mengurangkan beban mangsa dan keluarga untuk membantunya mendapatkan semula keyakinan bersosial seperti manusia normal yang lain.

Hakim itu melalui alasan penghakiman yang dikeluarkan 27 Mei lalu, berkata keterangan pakar menyatakan oleh kerana batang zakar masih ada, mangsa masih boleh melakukan hubungan kelamin, mengeluarkan air mani dan berpotensi mempunyai zuriat.

“Bagaimanapun keterangan saksi pakar secara keseluruhannya menunjukkan bahawa, mangsa tidak akan dapat menikmati hubungan kelamin itu.

“Ibu mangsa dalam keterangannya memberitahu, sejak kejadian itu yang berlaku ketika anaknya berusia 10 tahun, mangsa tidak lagi berinteraksi dengan orang lain dengan normal kerana tidak mempunyai keyakinan diri.

“Walaupun mangsa timbul keberanian untuk berkahwin, tiada mana-mana perempuan yang akan berkahwin dengannya sekiranya mengetahui keadaan yang dialami mangsa,” katanya.

Saman itu difailkan pada 10 Julai 2018 oleh mangsa melalui ibunya ketika berusia 18 tahun terhadap Kerajaan Malaysia, Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang, Pengarah Hospital, doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor selaku defendan.

Insiden berlaku di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis ketika mangsa berusia 10 tahun mengakibatkan keseluruhan kepala zakar mangsa terpotong dan penyambungan semula tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul.

Plaintif mendakwa, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang bagi prosedur pembedahan menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar.

Selepas masuk hari ke-35, plaintif berkata beliau terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi berada pada batang zakarnya.

Sementara itu, Akhtar berkata kelewatan Hospital Kuala Lipis, Hospital Selayang dan beberapa pegawai perubatan termasuk doktor pakar mengambil langkah pantas untuk menyelamatkan kepala zakar yang terpotong menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa.

Baca Juga: Pemuda dapat pampasan RM3.1 juta selepas kemaluan terpotong semasa bersunat

Baca Juga: JPJ larang kenderaan berat lalu Lembah Klang pada dua waktu puncak, jom semak