Rosmah tidak hadir perbicaraan kes harini, Hakim persoal peguam

“Peguam, saya tak nampak Rosmah di mahkamah hari ini.”

Kenyataan itu dibuat Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang mengetuai panel tiga hakim sebaik prosiding rayuan yang dikemukakan oleh wanita tersebut bermula di Mahkamah Rayuan hari ini.

Mahkamah Rayuan hari ini sepatutnya mendengar sambungan hujahan rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.

Bagaimanapun, penjelasan peguam bela, Datuk Jagjit Singh berhubung lokasi wanita itu menyebabkan keadaan situasi sedikit tegang.

Jagjit menjelaskan disebabkan rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi tidak lagi perlu menjalani kuarantin apabila pulang dari Singapura, maka anak guamnya meminda tarikh perjalanan pulang dari 21 November ke 6 Disember ini.

“Oleh itu saya memohon agar kehadiran anak guam saya pada prosiding hari ini dikecualikan,”katanya.

Hakim Hanipah kemudian menyoal sama ada pihak pembelaan memohon lanjutan masa dari Mahkamah Tinggi berhubung perubahan jadual perjalanan tersebut.

“Perintah Mahkamah Tinggi jelas menunjukkan bahawa perayu (Rosmah) perlu balik ke Malaysia sebelum atau pada 21 November ini dan perlu pulangkan semua pasport pada 6 Disember. Pindaan jadual perjalan ni, ada minta (kebenaran) daripada Mahkamah Tinggi?,” tegas hakim itu.

Soalan sama turut diajukan Hakim Datuk M. Gunalan berhubung kebenaran untuk Rosmah meminda jadual pulang ke Malaysia. Turut bersidang ialah Hakim Datuk Hashim Hamzah.

Peguam itu kemudian memaklumkan pihaknya terlepas pandang berhubung perkara tersebut dan memohon agar kes ditangguhkan kepada Isnin ini sambil mengakui bahawa ketidakhadiran anak guamnya itu adalah satu pelanggaran terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Namun, Sri Ram mengemukakan bantahan terhadap permohonan tersebut dan memohon waran tangkap dikeluarkan dan jaminan RM1 juta yang dikenakan sebelum ini dibatalkan.

Hakim Hanipah: Semalam, mahkamah telah mengeluarkan surat memaklumkan prosiding hari ini akan berjalan seperti yang dijadualkan. Tapi peguam perayu hanya memaklumkan mahkamah berhubung ketidakhadiran perayu 10 minit sebelum mahkamah bersidang. Perayu sepatutnya balik pada 21 November lalu.

Jagjit: Saya mengambil tanggung jawab penuh atas perkara yang telah berlaku. Kami terlepas pandang mengenai kebenaran pindaan jadual perjalanan. Mohon kes ditangguhkan kepada Isnin ini dan saya berjanji anak guam saya akan hadir pada tarikh tersebut.

Selepas mahkamah berhenti seketika, Hakim Hanipah ketika membacakan penghakimannya menyatakan, panel telah mengambil kira hujah kedua-dua pihak termasuk bantahan yang dikemukakan oleh Sri Ram menetapkan prosiding rayuan itu bersambung Isnin ini.

“Atas, alasan yang disebut, kami menggunakan budi bicara kami untuk menangguhkan (withhold) pengeluaran waran tangkap terhadap perayu dan memberi peluang kepadanya untuk hadir di hadapan kami,”kata Hakim Hanipah.- UTUSAN

COMMENTS