Satu demi satu keburukan syarikat GISB dilondehkan oleh pihak tertentu. Terkini, sijil halal untuk produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara tamat sejak tujuh tahun lalu dan belum pernah diperbaharui sehingga kini.
Memetik dari BHonline, GISBH Khidmat Utara dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya beberapa jam lalu, mengakui sijil halal itu berakhir 31 Mei 2017 dan memberi alasan pembaharuan tidak dilakukan kerana perpindahan lokasi kilang roti berkenaan.
Dalam masa sama, ia turut menjelaskan gambar bungkusan roti jenama Ikhwan yang ditularkan di media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat Malaysia (PUKAS) itu adalah gambar lama.
“Gambar yang diviralkan di media sosial PUSKAS adalah gambar lama, di mana roti tersebut dibuat di kilang roti yang lama.
“Tarikh pensijilan halal telah tamat pada 31 Mei 2017 dan tidak diperbaharui kerana perpindahan lokasi kilang.
“Pihak kilang roti berkenaan sekarang menggunakan plastik pembungkus dengan label yang baru setelah operasi di kilang baru dan sedang dalam proses untuk persijilan halal,” katanya.
Terdahulu, BH melaporkan produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
JAKIM dalam kenyataan, hari ini berkata semakan melalui Portal Halal Malaysia mendapati produk terbabit tiada memiliki SPHM yang sah.
“Kita mengambil perhatian serius terhadap pertanyaan yang diterima mengenai produk berkenaan yang sedang tular ketika ini.
“Perkara ini melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.
Dalam hal ini, katanya JAKIM sudah berhubung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk mengambil tindakan penguatkuasaan segera.
Baca: 10 jam rendam kaki dengan ais, pelajar nekad jadi ‘OKU’ demi RM6.15 juta