Rumah paling mahal di AS siap ada gelanggang boling bernilai RM1.2b, dilelong

Sebuah rumah agam yang dikatakan paling mahal di Amerika Syarikat (AS) terpaksa dilelong selepas gagal dijual pada harga AS$295 juta (RM1.23 bilion) di pasaran.

Lapor Daily Mail, rumah yang digelar The One itu mempunyai pelbagai kemudahan antaranya lima kolam renang, garaj besar yang boleh menempatkan 30 buah kereta dan gelanggang boling.

Malah ia turut dilengkapi dengan 49 bilik air, sebuah panggung wayang, dewan untuk mengadakan majlis amal, kelab malam, trek larian dan rumah tetamu.

Dilaporkan, bilik air utamanya mempunyai almari pakaian yang luas dan kolam renang peribadi.

Rumah agam seluas 9,754 meter persegi di kawasan perumahan Bel Air itu, mampu meraih rekod jualan tertinggi dan paling mahal dalam sejarah AS, iaitu sekiranya berjaya dijual melebihi AS$238 juta (RM997.9 juta) yang dibelanjakan hartawan, Ken Griffith untuk penthouse Manhattan pada 2019.

Pembidaan untuk hartanah mewah itu sudah bermula pada Isnin lalu menerusi firma Concierge Auctions, dan berlangsung sehingga Khamis.

Ia disenaraikan pada harga AS$295 juta (RM1.23 bilion), berdasarkan harga permintaan sebelum ini.

Sementara itu, Branden Williams yang mewakili hartanah mewah tersebut, menggambarkan hartanah itu sebagai `bangunan moden terbaik’.

“Rumah itu terletak di kawasan seluas 1.61 hektar di pergunungan di Bel-Air dan ia tidak boleh dibina lagi,” katanya.

COMMENTS