Rumah terbuka aidilfitri di Melaka mungkin tidak akan dibenarkan lagi selepas ini…

Aidilfitri kelak mungkin tidak lagi meriah apabila penganjuran rumah terbuka dan jamuan hari raya tidak dibenarkan diadakan di Melaka nanti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata selain itu, larangan pemberian duit raya secara fizikal dan digantikan dengan kaedah ‘sumbangan’ atas talian juga sedang diteliti dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, semua perkara itu dicadangkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu mesyuarat yang diadakan kelmarin.

“Duit raya pun dicadangkan MKN di peringkat Pusat supaya diberi secara dalam talian, selain melarang mengadakan rumah terbuka dan jamuan. Ia (arahan) sesuatu yang baharu dan kita perlu akur jika ia sudah diwartakan sebagai perintah daripada pihak berkenaan.

“Saya juga difahamkan rentas negeri untuk sambut raya masih tidak dibenarkan, namun kita tunggu sahaja pengumuman rasmi nanti,” katanya selepas menghadiri majlis sumbangan Ramadan peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya di di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Turut hadir, EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman; Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Penyelaras JAPERUN Ayer Keroh, Mohd Ariff Yusa.

Seramai 90 penerima terdiri daripada golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan berupa pek makanan dan wang tunai.

Sulaiman berkata, program kebajikan seperti itu akan diteruskan di setiap peringkat kepimpinan masyarakat dalam usaha menyantuni golongan yang memerlukan sepanjang bulan yang mulia ini.

“Saya yakin program kebajikan seperti ini sentiasa menjadi santapan harian pemimpin di pelbagai peringkat dalam negeri ini, justeru saya berharap ia akan diteruskan memandangkan ganjaran pahalanya cukup besar sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/700771/suram-lagi-raya-kali-ini-di-melaka

COMMENTS