Rupanya 13 individu pemimpin parti PN pegang jawatan penting dalam Universiti

Sekurang-kurangnya 13 individu daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) telah dilantik memegang jawatan di lembaga pengarah atau lembaga gabenor universiti awam, berdasarkan pemeriksaan di laman web universiti.

Antaranya ialah Naib Ketua Wanita Umno, Norliza Abdul Rahim yang dilantik sebagai ahli lembaga gabenor Universiti Sains Malaysia (USM); Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan, dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS); Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Malaysia Terengganu dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Husain Awang, yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin.

Begitu juga, Naib Ketua Pemuda Umno Selayang, Mohd Sazili Shahibi dilantik sebagai timbalan naib canselor yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bekas exco Selangor yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad, memberitahu Malaysiakini bahawa tahap pelantikan politik ini “sangat tidak wajar”.

Tambah Ahli Parlimen Setiawangsa itu, ini lebih-lebih lagi apabila Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya menangani perkara-perkara yang lebih mendesak yang dihadapi oleh pelajar ketika pandemik Covid-19.

“Mereka (kementerian) belum melakukan itu, namun pada waktu yang sama, mereka punya waktu untuk melakukan semua ini (pelantikan politik).

“Itu sangat tidak wajar, dan tidak bertanggungjawab bagi Menteri Pengajian Tinggi untuk melakukan ini pada masa ini,” kata Nik Nazmi, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dia juga menyorot bahawa ada ramai profesional di luar sana yang boleh dilantik sebagai dalam lembaga pengarah atau lembaga gabenor universiti awam dan bukannya ahli politik.

Ini adalah sesuatu yang diamalkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan, tambahnya.

“Mereka boleh meletakkan profesional lain (yang bukan dilantik PH), itu tak apa. Seharusnya ada batasan untuk mempolitikkan universiti, apa lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Universiti harus menjadi jauh lebih bebas dan dilindungi dari semua perkara kepartian ini,” kata Nik Nazmi.

Pentadbiran PN telah menerima kritikan sebelum ini kerana menggantikan teknokrat dengan ahli politik yang berpihak kepada kerajaan di pelbagai GLC, agensi kerajaan dan sebagainya.

Senarai 13 individu yang berkaitan dengan kerajaan PN yang mendapat pelantikan di universiti adalah seperti berikut:

1. Norliza Abdul Rahim (Umno) – Universiti Sains Malaysia

2. Abdul Aziz Abdul Rahman (Mubarak) – Universiti Malaysia Pahang

3. Awang Adek Hussin (Umno) – Universiti Sains Malaysia

4. Abdul Rahman Dahlan (Umno) – Universiti Malaysia Sabah

5. Md Alwi Che Ahmad (Umno) – Universiti Teknologi Malaysia

6. Khairul Ezwan Harun (Umno) – Universiti Utara Malaysia

7. Ibrahim Abu Shah (Umno) – Universiti Teknologi Mara

8. Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie (Umno) – Universiti Kebangsaan Malaysia

9. Khairil Nizam Khirudin (PAS) – Universiti Malaysia Terengganu

10. Md Sharif Shamsuddin (Umno) – Universiti Malaysia Pahang

11. Apli Yusoff (Umno) – Universiti Sultan Zainal Abidin

12. Husain Awang (PAS) – Universiti Sultan Zainal Abidin

13. Mohd Sazili Shahibi (Umno) – Universiti Teknologi Mara

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/579663