Rakyat Malaysia yang menjadi aktivis misi kemanusiaan Palestin, Nadir, al-Nuri tampil memberi versi beliau mengenai kontroversi misi kemanusiaan Ebit Lew ke Palestin beberapa minggu lalu.
Nadir melalui akaun telegramnya https://t.me/nadiralnuri mendedahkan pasukan Ebit Lew yang tidak membalas sebarang usaha beliau berhubung dengan mereka semasa berada di Kaherah.
“Semasa tim EL di Cairo, saya cuba beberapa kali untuk berhubung dengan tim EL untuk mendapatkan perkhabaran tetapi tiada sebarang maklum balas. Sehingga rakyat Malaysia dan media menjadi risau tentang kehilangan ‘Hero Malaya’. Selama sebulan tim EL terus sepi, timbul pelbagai spekulasi keselamatan terancam dan sebagainya, walaupun hakikat ia jauh dari kebenaran.”
Menurut Nadir berbanding keresahan pengikutnya di Malaysia, kumpulan Ebit Lew masih di bilik hotel, boleh pergi bersiar-siar di kawasan pelancongan Husein dan melawat piramid, sambil menunggu usaha agar diberi kebenaran memasuki ke Gaza.
Nadir turut memaklumkan beliau memberi rekomandasi yang yang baik kepada Mahmoud Al-Madhoun, Director General Kementerian Luar mengenai Ebit Lew.
“Individu yang bertanya, Encik Mahmoud Al-Madhoun adalah individu yang sama yang memberikan tim EL sijil Duta Muhibbah, sijil yang diberikan kepada SEMUA ahli rombongan dari semua NGO yang masuk ke Gaza untuk memberi bantuan sebagai penghargaan).”
Dalam mempertahankan dirinya Nadir turut menulis beliau mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Mahmoud dan memuat naik tangkap layar perbualan dengan Mahmoud.
“Hubungan saya dengan Encik Mahmoud sangat baik dan hampir setiap bulan pasca perang kami bertemu untuk membincangkan projek-projek paling utama dan prioriti untuk dilaksanakan di Gaza. Begitu juga dengan Timbalan Menteri Pembangunan Soisal Dr Ghazi, Ketua JK Belia dan Budaya Encik Ahmad Muhaisin dan wakil Kementerian Kesihatan Dr Ashraf yang ada dalam gambar ini, kami jumpa setiap bulan untuk berbincang.”
Nadir turut mempersoalkan sama ada bantuan yang dibawa oleh Ebit Lew sampai kepada rakyat Palestin.
“Persoalan lain pula timbul di mata masyarakat bagaimana barang-barang yang sudah di beli di Cairo tersebut? Adakah bantuan ini sudah berjaya masuk? Setahu saya ia masih lagi tersadai di Mesir beserta bantuan-bantuan lain yang tidak dibenarkan masuk lagi pun. Bukankah ia satu pembaziran?”
Nadir mengingatkan Ebit Lew bahawa beliau sebelum ini saya pernah memaklumkan kepada media bahawa cara terbaik untuk memberi bantuan kedalam bumi Gaza adalah dengan pembelian barangan keperluan di dalam pasaran tempatan di Gaza, kerana terdapat banyak kebaikan yang boleh dimanfaatkan terus kepada masyarakat yang memerlukan.
“Telah banyak pengalaman-pengalaman NGO seluruh dunia cuba untuk memasuki Gaza dengan membawa barangan-barangan keperluan sehingga tersadai dan terbiar di sempadan Gaza dalam bentuk perubatan dan makanan sehingga tamat tempoh dan tidak boleh digunakan. Akhirnya berlaku pembaziran yang amat dahsyat. Perkara ini telah menjadi pengajaran kepada semua NGO-NGO bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.”
Nadir juga menyatakan kekecewaan dan menyatakan usaha beliau memberi ‘teguran manja’ berkaitan bantuan yang ingin disampaikan ke Gaza telah disalahertikan dan ditafsirkan seolah-olah bantuan perlu disampaikan melalui saya.
“Sekiranya teguran kecil tidak dapat diterima bagaimana umat kita ingin bersatu untuk menjayakan misi lagi besar masa akan datang?”
Nadir juga menggesa pasukan Ebit Lew tampil memberi pencerahan dan penjelasan supaya tidak timbulnya bibit-bibit fitnah lain.
sumber : https://suara.tv/21/07/2021/nadir-al-nuri-tempelak-ustaz-ebit-lew-dakwa-bantuan-tidak-sampai/