Rupanya geng kartel Azmin ketuai rancangan rampasan kuasa MB Negeri Sembilan

Beberapa ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Negeri Sembilan sedang cuba merampas kuasa dalam parti dengan mengambil langkah untuk menggulingkan ketua negeri, Aminuddin Harun, yang juga Menteri Besar.

Satu sumber berkata, usaha menggantikan Menteri Besar itu tidak akan berjaya kerana ADUN yang terlibat tidak mendapat sokongan anggota cawangan.

“Beberapa ketua cawangan mengadakan sidang media sendiri. Namun ramai antara kami mahu Aminuddin kekal sebagai Menteri Besar,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, individu-individu di sebalik percubaan merampas kuasa ini terbabit dengan “kartel” pemimpin yang meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu semasa Langkah Sheraton pada Februari tahun lepas.

Katanya, mereka cuba menggantikan Aminuddin dengan salah seorang ADUN PKR yang hadir pada sidang media semalam.

Menurut laporan media, mereka yang hadir pada sidang media semalam adalah empat ketua cawangan dari Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah; tiga ahli jawatankuasa dari Rembau, Rasah dan Port Dickson; dua timbalan ketua cawangan dari Seremban dan Rembau; serta ketua sayap wanita, Amni Idris dan timbalannya Rusnani Saring, antara lain.

Sumber itu berkata, ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan membuat aduan kepada ibu pejabat PKR di Petaling Jaya kerana tidak ada pertemuan atau persetujuan dibuat mengenai perkara itu.

“Kami sedang melihat kemungkinan tindakan disiplin diambil terhadap mereka yang terlibat dalam rampasan kuasa ini kerana ia bukan keputusan yang dibuat secara sepakat,” tambahnya.

FMT telah menghubungi Aminuddin untuk mendapatkan komen.

Menurut Sinar Harian, Ketua Penerangan Negeri PKR Yusuf Tapar berkata, perubahan diperlukan untuk memastikan parti itu kekal relevan, dengan mendakwa ketua negeri gagal melaksanakan rancangan untuk menarik pengundi.

Yusuf berkata, Aminuddin juga gagal menyelesaikan isu yang sedang dihadapi oleh cawangan-cawangan terbabit dan beberapa keputusannya bercanggah dengan perlembagaan parti.

Terdapat 36 ADUN di Negeri Sembilan, dengan Pakatan Harapan mempunyai 20 ahli, iaitu 11 daripada DAP, enam daripada PKR dan tiga daripada Amanah.

Pihak pembangkang mempunyai 16 wakil, iaitu 15 daripada Umno dan seorang daripada MIC.

Pembangkang hanya memerlukan empat ADUN yang beralih arah untuk mencetuskan perubahan dalam kerajaan negeri dan melantik Menteri Besar baharu.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/06/kartel-bekas-pemimpin-pkr-dalangi-usaha-gulingkan-mb-kata-sumber/