Rupanya ini sebab tak rasa istimewa jadi rakyat Malaysia semasa tiba di kaunter imigresen KLIA

Terkilan seorang ahli akademik dan merasakan diri tidak istimewa sebagai rakyat Malaysia semasa tiba di kaunter imigresen di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

Dr Tazli menerusi platform X berkata, pegawai imigresen bertugas pula biadap “buat macam dia tuan di situ” apabila meninggikan suara selain bercakap bahasa Inggeris yang berterabur.

“Marah-marah orang tak bagi masuk kaunter khas. Bila ada yang cakap dan tanya dia kenapa jadi macam ni (kena beratur dengan orang lain), dia pesan dan saya quote balik sebab saya dengar dia cakap kuat-kuat:

“Pergi hantam kerajaan sekarang, diorang yang suruh bukak lane ni untuk warganegara lain”.

“Apa jenis pegawai kerajaan buat perangai macam ni?,” soalnya dalam hantaran di X, kelmarin.

Beliau berkata, selepas tiga minggu tidak pulang ke tanah air, laluan khas bagi warganegara Malaysia di kaunter imigresen terpaksa dikongsi dengan warga dari 53 negara yang lain.

“Kita yang dah terbiasa berbaris pendek terpaksa bersesak dengan warganegara lain.

“Hilang rasa istimewa jadi rakyat Malaysia. Ada pula tu yang tak daftarlah, muka tak dapat dikesan, pertama kali guna, semua jadi lambat.

“Dahlah tak ada pegawai imigresen yang tunggu di sana untuk bantu,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Tazli berharap Jabatan Imigresen dapat melatih pegawai-pegawai bertugas di KLIA dan pintu masuk negara dengan belajar cakap elok-elok dan bersopan santun.

“Cuba belajar cakap macam ni, “Kami minta maaf tuan/puan, ni baru dalam sesi pilot, Insha Allah harapnya lepas ni akan lebih smooth.”

“Kalau kau ingat kau boleh cakap kasar macam tu sebab kau penat, kau ingat orang lain tak penat?” tempelaknya lagi.

Beliau menambah kerajaan melalui kementerian berkaitan juga perlu mengambil tindakan sewajarnya.

“Selain daripada tolong train pegawai-pegawai cakap dengan bersopan santun dan bukan macam gangster filem Tamil, prosedur ni betulkanlah.

“Kalau pergi negara orang lain siap ada gate special untuk warganegaranya, tapi bila dah kena campur dengan lain, tak biasa! Hilang rasa istimewa jadi rakyat Malaysia macam ni,” keluh Tazli lagi.

BACA JUGA Video paling positif untuk kes Zayn Rayyan, wanita ini beri inspirasi pentingnya jaga tutur kata